Pemimpin Bersatu Ahmad Faizal Azumu hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan wujud "perjanjian sulit" antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan.
Merujuk kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 6 November lalu, beliau berkata ia adalah dakwaan serius dan rakyat mengetahui kebenaran di sebalik dakwaan tersebut.
“Perkara ini adalah serius memandangkan ia melibatkan kepentingan negara, kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan dan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” tambahnya.
"Pada masa sama, ia juga melibatkan masa depan negara, sama ada kita mematuhi kedaulatan undang-undang atau kedaulatan politik."
Terdahulu, Mahathir berkata Anwar akan membantu dalam mengenepikan pertuduhan mahkamah terhadap Zahid jika beliau mendapat sokongan menjadi perdana menteri.
Pengerusi Pejuang itu juga mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak akan dibebaskan daripada penjara, mengatakan beliau mengetahui wujud perbincangan Anwar dan Zahid untuk bekerjasama.
Dalam satu kenyataan, Faizal berkata pendedahan Mahathir harus dilihat dalam konteks peristiwa yang berlaku sejak September 2020, apabila Anwar berkata beliau mempunyai majoriti "kuat, kukuh dan meyakinkan" bagi membentuk kerajaan baru.
"Walaupun didesak ketika itu, Anwar enggan menyatakan dari mana beliau mendapatkan bilangan sokongan ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.
“Pada masa itu juga, adalah jelas bahawa jumlah sokongan hanya boleh diperolehi daripada Ahmad Zahid dan Umno,” katanya.
Selepas hampir dua tahun kemudian pada April 2022, beliau berkata, Anwar mendakwa beliau tidak dapat membentuk kerajaan pada September 2020 adalah kerana enggan bersetuju untuk "memberi jaminan" membebaskan mereka yang terlibat dalam tuduhan rasuah.
"Jika penjelasan terlewat ini benar, kenapa Anwar mengambil masa hampir dua tahun untuk berkata demikian? Mengapa beliau tidak mendedahkan perkara ini pada tahun 2020? Justeru itu, penjelasannya pada tahun 2022 adalah tidak menyakinkan," kata timbalan presiden Bersatu itu.
Kenyataan Mahathir serupa dengan apa yang disuarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini memberi amaran kepada ahli Umno tentang kemungkinan kerjasama antara presiden parti mereka dan Anwar jika BN tidak mendapat majoriti undi bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya.
Penganalisis politik juga tidak menolak kemungkinan tersebut, mengatakan hubungan kedua-dua pemimpin itu rapat sejak mereka bersama dalam Umno.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment