NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Dua situasi menanti UMNO, BN sebagai pembangkang'


PUTRAJAYA:
Penganalisis politik tanah air berbeza pandangan, dalam mengulas hasrat Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) demi kelangsungan parti itu dalam jangka panjang.

Walaupun ada yang berpendapat, BN dengan berbekalkan pengalaman 60 tahun sebagai pentadbir mampu menjadi pembangkang yang baik, namun ada melihat langkah itu membuatkan BN akan terus lenyap pada masa depan.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata pengalaman lalu membolehkan pemimpin BN khususnya UMNO, tahu dan memahami operasi dan fungsi sebenar sesebuah kerajaan.

"UMNO mampu kerana mereka pernah jadi kerajaan dalam tempoh yang lama. Jadi mereka tahu dan faham struktur kerajaan dan bagaimana kerajaan harus berfungsi.

"Mereka lebih arif dengan selok belok pentadbiran," katanya kepada BH.

Mohd Izani mengulas desakan ramai pihak supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang yang bermaruah serta tidak menganggotai mana-mana blok politik untuk membentuk sebuah kerajaan.

Izani berkata, seandainya hanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, saja yang bersetuju bergabung dengan Pakatan Harapan (PH), sekaligus membelakangi keputusan dibuat di peringkat parti, ia akan dilihat sebagai sebuah parti yang mabuk kuasa dan meninggalkan arah atau ideologi perjuangannya.

Katanya, langkah itu dikhuatiri UMNO semakin sukar diterima pengundi, malah ahli UMNO akan mulai ragu-ragu mengenai perjuangan parti sendiri.

Jika keadaan itu berlaku, beliau berkata, pemimpin dan ahli UMNO boleh mengusulkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi memecat presiden parti atau dua pertiga perwakilan setuju melucutkan presiden.

"Soalnya masa, pembentukan kerajaan perlu cepat. Atau UMNO boleh berbuat demikian pada pemilihan parti nanti selepas enam bulan PRU15 dijalankan. Dijangka Pemilihan UMNO akan menjadi tumpuan nanti," katanya

Bagaimanapun, bagi Felo Penyelidik Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Baharudin Aziz, berpendapat BN dan UMNO perlu terus berada dalam mana-mana kerajaan, sama ada PH mahupun Perikatan Nasional (PN).

Jika tidak, beliau berkata, kedudukan BN dan UMNO dalam landskap politik negara berkemungkinan tamat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya.

Menyifatkan UMNO dan BN memasuki PRU15 dengan keyakinan daripada kejayaan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, Baharudin berkata, ia menunjukkan parti itu tidak memahami sentimen pengundi di lapangan sudah berubah.

"Kalau jadi pembangkang, UMNO akan menjadi pembangkang seumur hidup. Pada 2018 UMNO kehilangan kerusi yang banyak, kali ini lagi merosot. Masa depan itu tak wujud.

"UMNO dan BN tidak akan wujud lagi lima tahun bila PRU diadakan pada 2027. Pada 2027 kalau ikut trend, siapa lagi nak pangkah UMNO BN. Tak payah. Semua akan pergi ke PN, PAS pun ada (dalam blok berkenaan)," katanya.

Mengambil kira apa yang berlaku selepas PRU15 Sabtu lalu hingga kini, beliau berkata, pendekatan yang perlu diambil adalah untuk membina negara.

"Semua pihak perlu mengenepikan emosi terlebih dahulu dan memikirkan kepentingan negara. Kita ambil daripada 19 November, kita mahu membentuk kerajaan untuk mencapai apa saja yang menjadi slogan parti sebelum ini.

"Demi bina negara, tidak mengapalah untuk menjadi parti minoriti dalam negara kerana keadaan sekarang ini kedua-dua gabungan politik PH dan PN tidak mempunyai kerusi yang mencukupi.

"Sekarang ini mereka yang mempelawa UMNO. Kalau tidak dipelawa tak mengapa, duduklah sebagai pembangkang. Itu yang perlu difahami," katanya.

Setakat tengah hari tadi, Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) bersetuju kekal sebagai pembangkang buat masa ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini memutuskan untuk tidak menyokong PH atau PN bagi membentuk kerajaan.

Ketika ini, masih belum ada blok politik yang mampu membentuk Kerajaan Persekutuan selepas rakyat mengundi pada PRU15, Sabtu lalu.

PH ketika ini mempunyai sebanyak 82 kerusi termasuk kawasan yang ditandingi DAP dan MUDA menggunakan logo sendiri.

PN pula mempunyai 73 kerusi termasuk 22 kerusi dimenangi atas tiket PAS, menyebabkan PN dan PH tidak dapat membentuk kerajaan kerana tidak berjaya memperoleh 112 kerusi minimum sebagai majoriti mudah.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo