Kuala Lumpur: Selepas dikritik hebat atas gesaan bagi mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) selepas pembentukan kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) memohon supaya pengiktirafan itu dibincang secara rasional berikutan ia membabitkan isu akademik.
Menurut Dong Zong dalam kenyataannya, mereka memahami kebimbangan masyarakat Melayu dan atas dasar itu, pihaknya sudi berdialog serta berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman antara satu sama lain selain meningkatkan muafakat supaya isu pendidikan dapat didalami secara rasional dan pragmatik.
Ini kerana katanya, persatuan itu tidak mahu pelbagai pihak menjadikan UEC sebagai alat politik yang sengaja digembar-gemburkan sebagai isu kaum.
"Selepas PRU-15, kerajaan baharu mula dibentuk dan pelbagai lapisan masyarakat mengharapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melakarkan pelan pembangunan baharu untuk negara kita.
"Malangnya, isu pengiktirafan UEC pula diperbesarkan dan digembar-gemburkan secara berlebihan dengan cubaan untuk mencetuskan konflik sosial dan mewujudkan permusuhan dan persengketaan.
"Tidak kira mana-mana parti politik yang menjadi kerajaan, pendirian Dong Zong selama ini adalah untuk membantu negara kita dalam pembangunan modal insan, dan bertegas untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC secara akademik dan profesional," katanya melalui kenyataan, di sini.
Sabtu lalu, Dong Zong sekali lagi membangkitkan gesaan yang pernah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), dua tahun lalu supaya UEC diiktiraf.
Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan apabila beberapa pihak dilaporkan melalui portal berita meminta supaya Dong Zong tidak rakus dalam membuat tuntutan itu.
Pada masa sama, menurut Dong Zong, semua kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk mata pelajaran Sejarah, adalah digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, kurikulum SMPC juga menetapkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan keadaan kepelbagaian pendidikan di negara kita.
"UEC adalah satu pentaksiran akademik, sama serupa dengan pentaksiran STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) IB, A-Level dan sebagainya...UEC bukanlah satu petunjuk politik, oleh itu ahli politik tidak boleh menginterpretasikan UEC sewenang-wenangnya secara berlebihan untuk kepentingan peribadi.
"Sudah tentu, kami sememangnya dengan rendah hati menerima sebarang kritikan dan tunjuk ajar berkenaan kurikulum SMPC dan akan berusaha untuk penambahbaikan," katanya.
Menurut Dong Zong, pihaknya juga ada meluluskan 11 resolusi melalui mesyuarat diadakan baru-baru ini yang berkait rapat dengan kemakmuran negara, sistem pendidikan, hak dan kepentingan pendidikan pelbagai kumpulan etnik dan lapisan masyarakat.
Katanya, ia termasuklah penubuhan 'Ombudsman' (badan bebas) pendidikan, merapatkan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar, penggubalan dasar pendidikan yang menyokong kepelbagaian budaya dan aliran sekolah, serta layanan yang adil kepada semua aliran sekolah dan sebagainya.
Sementara itu, menurut Dong Zong, pihaknya bersetuju bahawa Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk harus memberi keutamaan untuk melaksanakan langkah yang bermanfaat kepada rakyat, mengadakan tadbir urus yang baik dan berintegriti, memulihkan kebebasan kehakiman, meringankan beban hidup rakyat dan merangsangkan pembangunan ekonomi.
Katanya, kerajaan juga haruslah memupuk dialog yang rasional, menyatupadukan hati rakyat dan tidak menghampakan mandat rakyat.
"Dong Zong menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyokong kerajaan baharu untuk mengutamakan pemulihan ekonomi negara, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memupuk keharmonian sosial," katanya.
Sumber I Harian Metro
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment