NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"Doakan kebaikan untuk Pahang. Insya-Allah" - Tulis Tuan Ibrahim dalam pertemuan PN-BN di Pahang


KUANTAN:
Tiga negeri mengadakan pemilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu, yang melakar kejutan bersejarah apabila Perlis yang disifatkan 'deposit tetap' Barisan Nasional (BN) bertukar tangan kepada penguasaan Perikatan Nasional (PN), manakala Perak pula membentuk kerajaan campuran BN-Pakatan Harapan (PH).

Di Pahang pula, pilihan raya kali ini menyaksikan PN berjaya membolot 17 kerusi DUN dan diikuti rapat oleh BN dengan 16 kerusi, sementara PH meraih lapan kerusi. Bagaimanapun, teka-teki pembentukan kerajaan negeri itu terus berlegar pasca PRU15 berikutan tiada pengumuman rasmi hingga kini.

Segala tanda tanya yang belum terjawab mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai gandingan parti politik untuk membentuk kerajaan campuran dijangkakan sama ada PN-BN atau PH-BN di Pahang.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik mengetuai rundingan mewakili PN berhubung pembentukan Kerajaan Pahang, seolah-olah membayangkan kerjasama berkemungkinan terjalin antara PN dengan BN.

Menerusi hantaran dalam Facebook beliau, hari ini, Tuan Ibrahim yang memenangi kerusi DUN Cheka di Parlimen Lipis pada PRU15, meminta didoakan kebaikan untuk Pahang.

"Doakan kebaikan untuk Pahang. Insya-Allah," katanya dalam hantaran ringkas itu yang turut kongsikan gambar beliau bersama Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dengan disertai beberapa individu lain.

Ketika ini, jawapan kepada persoalan hasil rundingan kerjasama dalam lingkungan tiga gabungan parti politik itu ke arah pembentukan Kerajaan Pahang, terus dinanti-nantikan khususnya oleh rakyat negeri itu.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo