NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Disorak sebagai 'pengkhianat', Peja balas dengan senyuman


TAMBUN:
Suasana di pusat penamaan calon (PPC) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Tambun pagi ini ‘hangat’ berikutan hanya jarak 10 meter memisahkan persimpangan tempat penyokong Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Dalam keriuhan penyokong kedua-dua parti, calon PN yang juga penyandang kerusi Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilihat tidak berkecil hati dengan sorakan ‘pengkhianat’ oleh penyokong PH, malah beliau sempat mengangkat tangan dengan senyuman mekar ke arah kumpulan itu.

Bagaimanapun, pasukan polis mengawal dengan ketat untuk mengelakkan provokasi melampau antara kedua-dua kumpulan penyokong itu.

Ahmad Faizal yang lebih mesra dikenali sebagai Peja, dilihat memasuki PPC sekitar pukul 8.50 pagi diiringi calon PN untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Hafez Sabri dan Puteri Holijah Mohd Rali (DUN Hulu Kinta).

Terdahulu, calon PH yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki PPC diiringi calon DUN Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad dan calon DUN Manjoi, Asmuni Awi.

Sementara itu, calon BN Datuk Aminuddin Md Hanafiah memasuki PPC dari persimpangan bertentangan diiringi calon DUN Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abdul Rahman dan calon DUN Manjoi, Datuk Azizul Kama Abd Aziz.

Pada PRU14 (2018), Ahmad Faizal berjaya merampas kerusi Tambun daripada penyandang ketika itu Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dengan majoriti 5,320 undi.

Untuk PRU15, persaingan di Tambun antara menjadi tumpuan negara selepas Anwar mengumumkan akan menjadikan Parlimen itu dan Perak sebagai pusat barisan hadapan untuk PH menawan Putrajaya.

Bagaimanapun, pandangan awal pemerhati berpendapat, kerusi itu bukan laluan mudah untuk bekas Timbalan Perdana Menteri itu memandangkan berdasarkan perpecahan di kalangan 65 peratus pengundi Melayu, serta peningkatan hampir 60,000 pengundi baharu ekoran pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik.

Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tambun dijangka mengumumkan senarai rasmi mereka yang bertanding di Parlimen ini kira-kira pukul 11 pagi, selepas selesai tempoh bantahan.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo