MARANG: Tindakan DAP menampilkan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri menyamai taktik pernah digunakan PAP Singapura yang menonjolkan Yusof Ishak untuk menjadi Presiden Singapura.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga calon PERIKATAN NASIONAL P.037 Marang itu berkata demikian ketika mengulas pertanyaan media selepas Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Beliau mengulangi perhatiannya mengenai orang-orang Melayu yang pada PRU15 ini digunakan oleh DAP sebagai calon sebagaimana kaedah digunakan PAP Singapura untuk menawan politik negara itu dahulu.
“Menteri-menteri Melayu ditonjolkan untuk menawan Singapura. Lee Kuan Yew boleh baca Jawi, pakai songkok. PAP ini ditubuhkan masa Singapura masuk Malaysia. Bila Singapura keluar Malaysia, PAP ditukar jadi DAP,” ujarnya.
Pun begitu, beliau berharap para pengundi terutama orang Melayu-Islam memahami perkara itu dan tidak mengundi ke atas individu calon, sebaliknya memilih kepada perjuangan parti yang diwakili.
Tuan Guru turut menyangkal bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu ‘meninggalkan kudis’ atau menyebabkan kesan buruk ke atas dirinya di sebalik kritikan dan dakwaan dibuat Anwar dalam kempen PRU15 ini.
Jelas beliau, rakyat boleh menilai sebagaimana keputusan pilihan raya yang pernah diterimanya di sebalik dakwaan Anwar bahawa Wakil Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu mengabaikan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen.
Menyentuh mengenai laporan polis dibuat ke atasnya berhubung kenyataan DAP pro-Komunis, beliau menjelaskan telahpun memberi keterangan di Bukit Aman dan laporan kelmarin hanya mengulangi laporan yang sama.
Diminta mengulas mengenai hasrat Khairy Jamaluddin untuk menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti, Tuan Guru berharap akan lebih ramai orang yang berpotensi yang penting dapat membawa mesej perjuangan dengan betul.
No comments
Post a Comment