KUALA LUMPUR: Polis Pahang hari ini menahan ahli DAP, Hew Kuan Yau bagi membantu siasatan berhubung satu ucapan berbaur perkauman dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata Kuan Yau, 53, ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Pahang di kediamannya di Puchong Jaya, Selangor dengan bantuan pasukan JSJ Bukit Aman.
"Pada 17 November lalu, polis Pahang menjalankan siasatan penularan video ceramah sebuah parti politik di Raub Perdana, Raub, Pahang.
"Pada ceramah itu, seorang penceramah bernama Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai 'Superman Hew' berucap dalam bahasa Kantonis yang didapati mempunyai unsur-unsur yang boleh menggugat ketenteraman awam.
"Sebahagian daripada rakaman video ceramah berkenaan kemudian ditularkan di media massa serta media sosial dan mendapat reaksi yang negatif dari kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi pihak polis mendapatkan keterangan lanjut.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi," katanya.
Menurut Ramli, Kuan Yau turut disiasat mengikut seksyen yang sama bagi ucapannya di dalam satu program ceramah politik di Taman Pandan Mawar, Melaka pada 18 November lalu.
Menerusi video yang tular itu, memaparkan ucapan Kuan Yau yang dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat serta berbaur perkauman ketika berucap pada ceramah itu.
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment