NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon PN, anak jati Sentul, fokus 5 perkara

SENTUL - Perikatan Nasional (PN) Batu akan memperkenalkan Kad Peduli Sihat yang memberi akses dan manfaat kepada kesihatan, kenderaan awam, kebajikan serta perlindungan sosial.

Calon PN Batu, Azhar Yahya berkata, perkara tersebut antara lima manifesto yang akan difokuskan selain aspek pembangunan belia sebagai peneraju, melindungi kumpulan rentan, memperuntuk RM1 bilion untuk dana makanan meliputi projek sekuriti makanan, program pembangunan modal insan berkonsep kerohanian dan keagamaan.

Menurutnya, itu adalah lima janji terbaik yang realistik, sesuai dan boleh dilaksanakan terus jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kami mahu jadikan belia sebagai peneraju termasuk melantik senator dalam kalangan belia. Selain itu, memberi diskaun 25 peratus bayaran balik pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) untuk graduan kelas kedua atas serta menyediakan skim perumahan mikro belia mampu.

"Bagi melindungi kumpulan rentan, kami akan mempertingkatkan perkhidmatan kepada warga emas, wanita, orang kurang upaya (OKU) melalui jabatan dan latihan kemahiran," katanya pada Program Munajat dan Malam bersama calon PN Parlimen Batu di Markas Pas Batu, One Maxim di sini pada Rabu.

Azhar calon nombor tujuh Parlimen Batu.
Azhar calon nombor tujuh Parlimen Batu.

Beliau yang kali kedua menjadi calon bagi Parlimen Batu memberi keyakinan lebih bersedia dan mampu menang dalam pertembungan 10 penjuru pada PRU15, 19 November depan.

Jelas anak jati Sentul itu, pengalaman 2018 sebagai calon Pas dan memperoleh 10,000 undi dalam tempoh persediaan kurang tiga bulan menunjukkan parti itu mempunyai akar umbi yang kuat.

"Jadi selepas diberikan kepercayaan menjadi calon sekali lagi pada PRU15, walaupun komposisi itu agak sukar kerana bertanding di kawasan majoriti bukan Muslim, namun saya anggap itu sebagai cabaran.

"Di bawah kerajaan PN, Pas diberi ruang dan peluang untuk mainkan peranan yang lebih besar kepada masyarakat menerusi lantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan kemasyarakatan. Peluang itu kami gunakan sebaiknya untuk belajar dan mendekati komuniti," katanya.

Selain itu katanya, persaingan 10 kerusi itu juga memberikan kelebihan untuk Pas lebih menonjol berbanding calon-calon lain yang dilihat telah pecah undi.

"Jika saya menang, ini memberikan peluang kepada parti Islam untuk mentadbir dalam keadaan majmuk yang mana masyarakat di sini adalah 47 peratus Melayu sementara bakinya bukan Islam.

"Batu ini ibarat satelit yang menjadi tempat tumpuan dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Ia sangat sesuai dijadikan contoh kepada Malaysia Sejahtera," katanya.


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo