NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon PH Padang Serai meninggal dunia


Calon Pakatan Harapan (PH) untuk parlimen Padang Serai di Kedah, M Karupaiya, meninggal dunia hari ini, hanya dua hari sebelum pengundian dijalankan Sabtu nanti.

Mendiang, berumur 69 tahun, merupakan ahli PKR memenangi kerusi itu pada PRU 2018 selepas menewaskan Leong Yong Kong dari MCA dan Muhammad Sobri Osman dari PAS.

Karupaiya (atas) dijadualkan menentang C Sivaraaajh dari MIC dan tiga yang lain pada 19 Nov ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Beliau meninggal dunia di Hospital Kulim pada jam 2.27 petang," katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dalam kenyataan petang ini berkongsi perkara itu, dengan mengimbas pertemuan kali terakhirnya dengan mendiang pada 14 Nov lalu.

Kata Saifuddin, mendiang ketika itu tampil memberi ucapan ringkas dan sempat bersama menjulang tangan di akhir ucapan bersama Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

“Mewakili seluruh keluarga besar PKR dan PH, saya merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang. Pemergian mendiang satu kehilangan besar kepada parti dan perjuangan reformasi.

“Jasa mendiang di parlimen, kepada warga serta Cabang Padang Serai, dan juga kepada Angkatan Tentera Malaysia terutama para veteran akan senantiasa dikenang.

“Mendiang meninggal dunia di dalam perjuangan menegakkan keadilan demi Malaysia yang lebih baik. Semangat ini akan diteruskan oleh para pejuang PKR dan PH pada PRU ke-15 ini,” kata Saifuddin.

Karupaiya merupakan bekas Pegawai Waran 1, Angkatan Tentera Malaysia dan juga ketua Cabang PKR Padang Serai.

Sementara itu, Sivaraaajh turut berkongsi memberi penghormatan kepada mendiang.

"Karupaiya adalah bekas tentera yang telah mendedikasikan sebahagian besar hidupnya untuk perkhidmatan awam dan politik.

"MIC dan BN terkejut dengan berita ini. Ini adalah satu kerugian besar yang tidak dijangka oleh pengundi di Padang Serai," katanya.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo