KOTA KINABALU: Perjanjian kerjasama di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Barisan Nasional (BN) Sabah menjadi terbatal apabila BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu.
Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor, berkata perjanjian dipersetujui GRS dan BN sebelum ini adalah GRS akan memberi sokongan kepada UMNO/BN jika parti itu layak membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri.
"Bagaimanapun, apabila BN kalah dan UMNO tidak layak menjadi Perdana Menteri, maka perjanjian itu tidak sah dengan sendirinya.
"Perlu ditegaskan tiada janji sebelum pilihan raya dengan orang (pihak) lain termasuk dengan Pakatan Harapan (PH)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Hajiji dalam kenyataannya berkata, pendirian GRS untuk menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan membentuk kerajaan.
Sementara itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata GRS menolak dakwaan BN Sabah bahawa GRS mengisytiharkan 'perang' terhadap BN seperti dituduh pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, semalam.
Hajiji berkata, GRS tidak pernah mengisytiharkan perang terhadap BN seperti yang didakwa Bung Moktar.
"Kita tidak ada apa-apa alasan atau perlu isytihar perang terhadap BN. Malah, dalam PRU15, GRS) dan saya sendiri turun padang berkempen membantu calon BN di kawasan mereka," katanya.
Tuduhan Bung Moktar itu dikaitkan dengan keputusan GRS menyokong PN dalam soal pemilihan Perdana Menteri dan kerajaan baharu persekutuan.
Hajiji juga menafikan dakwaan beliau bersama Ahli Parlimen Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Bebas menemui Sri Muhyiddin di kediaman pemimpin berkenaan di Kuala Lumpur.
"Mereka berjumpa dengan Tan Sri (Muhyiddin) atas kerelaan sendiri dan saya tidak terbabit langsung pada perjumpaan itu.
"Saya berharap UMNO/BN akan terus bekerjasama mentadbir negeri ini selaras dengan mandat diberikan rakyat kepada kerajaan GRS-BN pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16)," katanya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment