NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN sepakat berkecuali, serah kepada budi bicara dan kebijaksaan Agong


KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dipercayai sepakat menyerahkan kepada budi bicara serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam soal memutuskan calon Perdana Menteri ke-10.

Sumber parti yang dihubungi memaklumkan, blok parti itu mengambil pendirian berkecuali dalam memilih mana-mana calon Perdana Menteri sama ada daripada Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

"Begitulah. Sudah diputuskan. Akan dimaklumkan nanti," katanya ringkas ketika ditanya sama ada Ahli Parlimen BN sudah mencapai kata sepakat mengenai pencalonan Perdana Menteri ke-10.

Setakat ini, dua nama calon Perdana Menteri dijangka dipersembahkan ke Istana Negara sebelum jam 2 petang nanti, iaitu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, sumber itu memaklumkan, Ahli Parlimen BN juga bersetuju hanya akan menyertai mana-mana gabungan kerajaan jika dijemput gabungan yang menang dan jika sebaliknya, mereka sepakat untuk kekal sebagai pembangkang.

Sementara itu Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang ditemui media di lobi Menara Dato' Onn, mengesahkan tiada sebarang akuan bersumpah (SD) ditandatangani setakat tengah hari ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, malam tadi menegaskan kesediaan untuk menjadi blok pembangkang, selain mencadangkan PN dan PH membentuk kerajaan bersama.

Hari ini, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula menyatakan hasrat sama supaya BN berperanan sebagai pembangkang.

Kenyataan terbaru Hishammuddin itu sekali gus menunjukkan BN sepakat mengambil keputusan 'en bloc' dalam menentukan soal pencalonan Perdana Menteri.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo