NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN sedia sokong pembentukan kerajaan tapi mahu kekal pembangkang


Dewan Tertinggi BN memberi gambaran BN kemungkinan menyokong calon perdana menteri dari gabungan lain namun kekal sebagai pembangkang.

Meskipun tidak menyatakan secara spesifik, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir dipercayai merujuk kepada Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).

Perjanjian itu membolehkan ketua gabungan tertentu mendapat sokongan daripada ahli parlimen BN sebagai calon perdana menteri tanpa perlu berada dalam kabinet kerajaan.

“Tiada mana-mana ahli parlimen BN yang telah memberikan sokongan terhadap pencalonan (Pengerusi Perikatan Nasional) Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10, dan pemakluman mengenai perkara ini telah dibuat kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Dewan Tertinggi juga mengambil pendirian terbuka untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan, bagi memastikan sebuah kerajaan dapat dibentuk demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Dengan pendirian dan keputusan yang dicapai, kedudukan Barisan Nasional adalah kekal seperti sekarang,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan.

Ahli parlimen Bera itu berkata Dewan Tertinggi BN bersetuju untuk gabungan itu kekal sebagai pembangkang.

"Alhamdulillah, Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

"BN tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN). Setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun sosial medianya.

Presiden MIC SA Vigneswaran dan timbalannya M Saravanan turut memaklumkan perkara sama.

“Kami tidak memilih sesiapa (sama ada PH atau PN). BN sedia menjadi pembangkang,” kata mereka ketika ditemui di luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Politik Malaysia menyaksikan kebuntuan selepas tiada parti atau gabungan memperoleh majoriti mudah dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 Sabtu lepas.

PH menang di 82 kerusi, PN 73 kerusi manakala BN mempunyai 30 kerusi. Susulan itu, pemimpin PH dan BN mengadakan pertemuan di Hotel Seri Pacific hari ini bagi merangka persetujuan untuk bekerjasama.

Bagaimanapun, pemimpin BN nampaknya tidak sebulat suara untuk bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan, meskipun di peringkat negeri kerjasama seumpamanya dijalinkan untuk menyelesaikan dewan undangan negeri yang tergantung.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo