NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN masih di hati pengundi Melayu - Kajian


SHAH ALAM
- Kajian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh tiga badan penyelidik iaitu Ilham Centre, O2 Research dan Huayan Policy Institute Centre for Malaysia Chinese Studies mendapati Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mendapat sokongan awal pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Menerusi kajian lapangan oleh Ilham Centre, 35 peratus daripada 1,622 responden akan memilih BN jika PRU15 diadakan pada waktu ini dan daripada jumlah berkenaan, jelas menunjukkan ia masih menjadi pilihan utama kaum Melayu dan India dengan sokongan 46 peratus (Melayu) dan 35 peratus (India), manakala 38 peratus kaum Cina memilih Pakatan Harapan (PH).

Kajian itu juga mendapati biarpun BN mendahului sokongan dengan 35 peratus diikuti PH (18 peratus), namun terdapat 21 peratus golongan pengundi atas pagar yang masih tidak menentukan pilihan.

Selain itu, 36 peratus pengundi akan memilih BN dengan UMNO menjadi parti popular dan dekat di hati rakyat (31.8 peratus) diikuti PH (14 peratus).

Poster boy BN, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah figura yang dinamakan sebagai calon pilihan utama pengundi sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

Sejumlah 19 peratus pengundi didapati akan memilih Ismail Sabri, manakala 13 peratus menyokong Muhyiddin dan 11 peratus mahukan Anwar.

Menurut O2 Research yang mengambil kira dapatan daripada 1,105 responden, 40 peratus undi di Semenanjung Malaysia pada PRU15 akan memilih PH diikuti BN (27 peratus), Perikatan Nasional-PN (18 peratus) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan empat peratus.

Hasil dapatan mengikut kaum di Semenanjung pula, sejumlah 35.7 peratus pengundi Melayu memilih BN untuk diundi berbanding PN (28.9 peratus) dan PH (25.5 peratus).

Ismail Sabri ketika berucap di Konvensyen Barisan Nasional 2022 dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Jun lalu. - Foto Bernama

Manakala kaum Cina menyokong PH (68 peratus) dan India (66 peratus).

Kajian berkenaan turut mendapati, 68.7 peratus masyarakat bumiputera berpendapat bahawa parti Melayu seperti UMNO dan Pas perlu bekerjasama pada PRU15, manakala 19.9 peratus daripadanya tidak bersetuju.

Sebanyak 73.3 peratus masyarakat bukan bumiputera pula berpandangan PH perlu bekerjasama dengan parti pembangkang lain pada PRU15, manakala 14.5 peratus sebaliknya.

Sekiranya tiada parti mampu menjadi kerajaan secara sendirian selepas PRU15, purata 80 peratus penyokong BN dan PN mahukan kedua-dua parti itu bekerjasama membentuk kerajaan.

Sejumlah 47 peratus penyokong PH mahukan gabungan itu bekerjasama dengan BN membentuk kerajaan, manakala 52 peratus menyokong untuk bergabung dengan PN.

Menurut kajian oleh Huayan Policy Institute Centre for Malaysia Chinese Studies terhadap 2,354 responden Cina secara fizikal dan dalam talian, 90.7 peratus daripadanya memilih PH membentuk kerajaan selepas PRU15 diikuti Muda (62.2 peratus), BN (22.4 peratus).

Kajian berkenaan melibatkan tiga lokaliti iaitu Bukit Gelugor (Pulau Pinang), Ayer Hitam (Johor) dan Sungai Besar (Selangor), selain secara dalam talian melibatkan Sin Chew Daily dan The Star.

Mengenai kerjasama membentuk kerajaan selepas PRU15 sekiranya tiada parti yang memperoleh majoriti, 18 peratus responden mahu PH bergabung dengan Parti Warisan (Sabah), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Muda, manakala 13.7 peratus mahu PH bergerak sendiri.

Kajian mendapati calon PH menjadi pilihan pengundi Cina di semua kawasan dengan 68.8 peratus, manakala 12 peratus memilih BN dan Muda (tujuh peratus).

Secara keseluruhan dapatan Huayan menunjukkan PH terutama DAP kekal gabungan popular seterusnya menjadi pilihan utama pengundi Cina pada PRU15.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo