Selepas berakhir pusingan pertama kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Pahang, kedudukan semasa dilihat masih seimbang bagi semua parti bertanding.
Walaupun BN Pahang menampilkan hampir 70 peratus muka baru untuk pilihan raya umum kali ini, namun bukan semua calon itu dikenali pengundi dan penduduk setempat.
BN dijangka kehilangan sekurang-kurangnya dua lagi kerusi parlimen dalam pilihan raya kali ini.
Kerusi parlimen Maran dan Jerantut antara paling kritikal untuk BN selepas pembangkang, terutamanya Perikatan Nasional (PN) menggunakan calon berprofil tinggi dalam usaha mengurangkan penguasaan BN di Pahang.
Seperti semua sedia maklum, kerusi parlimen Maran sejak hari pengumuman calon lagi sudah bermasalah.
Penyandangnya, Ismail Abd Muttalib digugurkan bagi memberi laluan kepada ketua Umno Maran, Shahaniza Shamsuddin.
Ismail kemudian mengumumkan untuk terus bertanding dan mempertahankan kerusi dimenanginya sejak empat penggal lalu menggunakan tiket PN di situ.
Sementara di Jerantut, BN mencalonkan setiausaha Umno bahagian, Mohd Zukarmi Abu Bakar bagi menggantikan penyandang, Ahmad Nazlan Idris.
Walaupun Mohd Zukarmi menyuarakan keyakinan untuk mempertahankan kerusi berkenaan, namun dari segi penerimaan pengundi di Jerantut pula memperlihatkan suasana sebaliknya.
Dia bakal berentap dengan Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin dan calon PH, Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Dalam pilihan raya umum lalu, dua daripada tiga kerusi DUN - kerusi DUN Tahan dan Damak dalam parlimen Jerantut dimenangi calon PAS.
BN hanya dapat mempertahankan kerusi DUN Pulau Tawar melalui ketua Umno Jerantut, Nazri Ngah.
Nasib Nazri juga masih samar berikutan isu dihadapinya sebelum ini.
Dia dikaitkan dengan insiden penggunaan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Taman Negara pada 16 Julai lalu.
Walaupun seorang kontraktor tampil selepas enam hari insiden itu dan mengaku bertanggungjawab, namun ia tidak meredakan khabar angin dalam kalangan penduduk sekitar Taman Negara.
Nazri menang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti kurang selesa, hanya 587 undi.
PN yakin memang 2 parlimen, tambah 8 DUN
Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah ketika ditanya mengenai unjuran penguasaan gabungan parti itu selepas seminggu berkempen berkata, mereka yakin dapat memenangi dua kerusi parlimen dan tambahan lapan kerusi DUN.
“Dua kerusi parlimen yang kita jangka boleh menang disandang PH dan BN ketika ini, manakala bagi kerusi DUN pula, kita lihat kepada gelombang sokongan semasa dan boleh gandakan dari jumlah kita miliki sekarang,” katanya.
Pada PRU14, PN hanya memiliki satu kerusi parlimen, kerusi Indera Mahkota yang dimenangi Saifuddin yang bersama Pakatan Harapan (PH).
Jumlah kerusi DUN dimiliki PN pula sebanyak lapan dan semuanya daripada PAS.
Jika dilihat kepada unjuran dibuat Saifuddin, PN begitu yakin memenangi kerusi DUN Cheka yang ditandingi Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man selain mempertahankan lapan kerusi dimiliki mereka ketika ini.
Lapan kerusi DUN itu adalah Beserah, Tanjung Lumpur, Panching, Damak, Tahan, Luit, Jengka dan Chenor.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar turut menyatakan keyakinan mereka untuk memperoleh sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN dalam PRU15.
Dia yang akan mempertahankan kerusi DUN Tanjung Lumpur berkata, kemenangan lapan kerusi DUN dalam PRU14 diperoleh ketika mereka bergerak secara solo.
“Sekarang kita ada gabungan yang bagus (PN) dan boleh menawarkan pilihan lebih baik kepada rakyat Pahang.
“Melalui sokongan dan gandingan baru ini, kita yakin PN boleh menambahkan jumlah kerusi DUN dan parlimen,” katanya.
BN hanya selamat di Bera, Pekan dan Rompin?
Kalau dinilai kepada perkembangan selepas berakhirnya pusingan kempen, BN Pahang kini berdepan masalah di 11 dari 14 kerusi parlimen di negeri ini.
Hanya kerusi parlimen Bera, Pekan dan Rompin saja boleh dikatakan selamat, manakala selebihnya, BN bakal berdepan tugas getir.
Kerusi parlimen Bera bakal dipertahankan perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob, manakala kerusi Pekan pula kekal dikuasai BN atas faktor sentimental terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.
Parlimen Rompin pula tidak banyak berdepan masalah untuk dipertahankan BN walaupun penyandangnya, Hasan Ariffin dikatakan kurang memberi perhatian kepada kawasan itu selepas memenangi kerusi berkenaan pada tahun 2015.
Kerusi parlimen Kuantan dan Indera Mahkota yang menyaksikan pertukaran antara MCA dan Umno tetap bermasalah walaupun sebelum ini, Kuantan ditandingi calon MCA, manakala Indera Mahkota pula Umno.
Strategi ini tidak banyak membantu, walaupun BN mempunyai peluang lebih cerah di parlimen Kuantan.
Calon BN Kuantan, Abdul Hamid Nazahar akan cuba menamatkan penguasaan Fuziah Salleh (PKR) yang menyandang kerusi itu sejak pilihan raya umum ke-11.
Fuziah sebelum ini adalah ketua wanita PKR dan dia tidak terpilih sebagai naib presiden parti itu dalam pemilihan baru-baru ini.
Kerusi parlimen Raub sebelum ini dituntut Umno, namun akhirnya setiausaha agung MCA, Chong Sin Won diberi tanggungjawab merampas kerusi itu yang dimenangi PH pada PRU14.
Kemunculan semula bekas presiden MCA, Liow Tiong Lai untuk mencuba nasib sekali lagi di Bentong juga bakal berdepan tugas sukar.
Ini berikutan PH mencalonkan bekas ADUN Ketari, Young Syefura Othman di kerusi parlimen itu.
Selain itu, PN mempertaruhkan Roslan Hassan dan dua calon bebas termasuk penyandang kerusi berkenaan, Wong Tack dan Achik Khalil turut bertanding di Bentong.
Sementara itu, pertembungan sengit juga dijangka berlaku di Lipis yang menyaksikan penyandangnya, Abdul Rahman Mohamad bakal ditentang naib pengerusi DAP Pahang (PH), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, bekas ahli parlimen Lipis, Mohamad Shahrum Osman (PN) dan calon Pejuang, Aishaton Abu Bakar.
Mohamad Shahrum adalah bekas ahli parlimen Lipis antara tahun 2004 hingga 2013 ketika bersama Umno.
Memasuki separuh masa kedua kempen, semua calon dan semua parti bertanding perlu memperbanyakkan pendekatan turun padang menyantuni seberapa ramai pengundi yang boleh.
Pecutan terakhir sebelum 19
November menjadi penentu calon daripada parti mana menjadi pilihan hati
mereka untuk berkhidmat bagi tempoh lima tahun akan datang.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment