NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN bukan lagi watak utama PRU15


Dalam setiap filem, akan ada watak protagonis atau utama yang mendominasi dari awal hingga penamat. Jarang sekali atau amat pelik tiada watak ini dalam filem.

Namun dalam filem epik trilogi Lord of the Rings, Frodo yang dilabelkan sebagai protagonis walaupun watak sahabatnya, Sam, tidak kurang hebat hingga sesetengah pengkritik filem meletakkannya sebagai protagonis sebenar dan bukan Frodo yang terpaksa dibantu untuk menghapuskan kuasa jahat.

Itu dalam filem! Pilihan Raya Umum (PRU) juga mempunyai watak protagonis, tetapi adakah edisi ke-15 masih ada lagi watak itu.

Barisan Nasional (BN) yang sering memegang watak protagonis, tewas dalam PRU Ke-14 (PRU14). Walaupun skrip selepas itu berbeza dengan BN menjadi sebahagian kerajaan, malah Perdana Menteri dari BN, tetapi dalam PRU15, gabungan parti ini tidak lagi menjadi watak protagonis seperti dahulu.

Dalam PRU14, BN memenangi 79 kerusi Parlimen dengan Sarawak muncul sebagai penyumbang terbesar iaitu 19 kerusi, diikuti Perak (11), Sabah (10), Pahang (9), Johor (8), Kelantan (5), Negeri Sembilan (3), manakala Selangor, Melaka, Perlis, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang (masing-masing 2). BN juga menang 2 kerusi di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Namun ketika Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu, BN hanya tinggal sebanyak 42 kerusi Parlimen, iaitu Umno sebanyak 38, MCA (2) serta MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (masing-masing 1).

Selain tindakan lompat parti membabitkan ahli Umno, pengurangan bilangan Ahli Parlimen BN kerana gabungan ini bukan lagi segagah dahulu. Daripada gabungan 13 parti, BN hanya tinggal tiga anggota teras ketika bergelar Perikatan, Umno, MCA dan MIC serta sebuah parti di Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Di Borneo, BN lenyap dari bumi Sarawak apabila di bawah pimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Abang Openg, PBB, SUPP, PRS dan PDP, mengumumkan keluar dari BN. Empat parti itu kemudian membentuk gabungan kerajaan yang dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Di Sabah, Upko menjadi parti pertama mengumumkan keluar dari BN selepas kekalahan BN dalam PRU14. Parti itu kemudian bergabung dengan PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan), memberi majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan Sabah yang baharu.

Langkah itu diikuti oleh LDP dan PBS yang memutuskan keluar dari BN, lantas meninggalkan Umno dan PBRS sebagai komponen gabungan itu di Sabah.

Bagaimanapun, BN yang bertanding di 178 kawasan Parlimen dalam PRU15, akan terus memberi cabaran dalam PRU15. Cuma keadaan sudah jauh berbeza. Jika dahulu siapa calon yang bertanding bukan perkara penting kerana lambang dacing pada kertas undi tetap dipangkah.

Perdana Menteri sementara yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Ismail Sabri Yaakob, pula menjadikan songkok sebagai perlambangan.

“Dahulu kalau kita bertanding, kita pasti menang. Letak ‘songkok’ pun boleh menang tetapi sekarang keadaan semakin berubah. PRU14 jelas menunjukkan keyakinan untuk menang mudah dan besar tidak mencukupi,” katanya.

Bagaimanapun, nafsu BN masih besar. Ismail Sabri berkata, BN hadir pada PRU15 bukan sekadar untuk bertanding tetapi mahu menang dengan majoriti lebih besar agar mudah menguasai Putrajaya seterusnya membuat pelbagai keputusan bersama-sama parti komponen.

“Kita kena pastikan BN menjadi parti dominan kerajaan yang akan dibentuk. Jika BN memenangi 30 hingga 40 kerusi sahaja, kita tidak akan kuasai Kabinet,” katanya.

Ismail Sabri mensasarkan BN untuk menang sekurang-kurangnya 80 kerusi atau dua pertiga sambil berkata: “barulah kita ada kuasa kita dan orang akan dengar cakap kita. Kalau parti tidak kuat, tidak dominan, susah untuk kita membuat keputusan dan menguasai Putrajaya.”

Persoalannya, mampukah BN mengejar sasaran itu? Umno dan BN mungkin boleh bermain dengan kata-kata seperti kenyataan Bendahari Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa parti itu dan BN mempunyai kelebihan serta kekuatan dalam PRU15 walaupun bergerak solo.

Namun indah khabar dari rupa, BN bergelut mengejar kuasa yang hilang. Bagi penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain, sebarang cakap-cakap mengatakan Umno dan BN mampu bergerak secara solo hanyalah cakap kosong dan bongkak.

“Realitinya, Umno sukar menang selesa pada PRU15 kali ini tanpa kerjasama PERIKATAN NASIONAL (PN). Ini disebabkan Umno tidak segagah dan sekuat sebelum PRU14 dulu. Umno kini lemah, berpecah belah dan bersimpang siur,” katanya.

Secara ringkas, antara faktor PRU15 tidak memihak kepada BN ialah pertama, senario di Borneo tidak lagi memberi kelebihan kepada BN kerana hilang rakan kongsi di Sarawak yang selama ini tidak pernah gagal menyumbang kerusi. Di Sabah, Umno bukan lagi dominan apabila hanya menang 14 daripada 73 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

Kedua di Semenanjung, bukan rahsia bahawa di kawasan bandar dan separa bandar, Umno sudah hilang daya tarikan kepada pengundi, terutama berpendidikan, kelas menengah dan mementingkan integriti. Prestasi BN amat tidak memberangsangkan jika keputusan PRU14 dijadikan ukuran. BN tewas di semua 11 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, manakala sehingga kini, Selangor kekal di bawah Pakatan Harapan (PH).

Ketiga, prestasi rakan kongsi Umno dalam BN. MCA dan MIC sejak beberapa PRU lalu bukan sahaja mengecewakan, malah kedua-dua parti itu banyak bergantung kepada jentera Umno dan sokongan pengundi Melayu. Pada masa sama, meletakkan calon MCA dan MIC di kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu semata-mata kawasan itu secara tradisi ditandingi parti berkenaan menyebabkan pemimpin Umno kurang senang dan memboikot secara senyap.

Kenyataan Ketua Umno bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail, mengupas segala-galanya mengenai parti komponen BN: “Di Kedah ni, MCA ada dua kerusi Parlimen. Masalahnya, walaupun dua kerusi sahaja, tapi dari segi kerja sepanjang empat tahun mereka tidak buat apa pun.”

Keempat, di negeri yang pengundi Melayu adalah penentu, terutama di utara dan Pantai Timur, Umno ketinggalan jauh kepada PAS di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Lapan kerusi DUN yang PAS menang di Pahang dalam PRU14 pula, membuka jalan kepada potensi kemenangan lebih besar dalam PRU15.

Kelima, pengundi muda, terutama 1.2 juta yang berumur antara 18 hingga 20 tahun bukan sahaja mempunyai cita rasa berbeza, tetapi sukar dijangka. Elemen darah muda dan antiestablishment tidak menjanjikan kepastian buat BN.

Hakikatnya, BN kini sudah menjadi antagonis (lawan kepada protagonis) yang meniti jalan berliku walaupun melalui media massa yang `dikawal’ pihak tertentu, gabungan parti itu digambarkan bakal meraih keputusan cemerlang dalam PRU15. – HARAKAHDAILY 8/11/2022



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo