NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN bincang pendirian bergabung PH atau PN hari ini



KUALA LUMPUR:
Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan pendiriannya untuk bergabung sama ada dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) hari ini bagi melengkapkan jumlah kerusi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Siri mesyuarat penting membabitkan parti itu akan dimulakan dengan mesyuarat Biro Politik UMNO, yang dijadual berlangsung tengah hari ini di Menara Dato' Onn, di sini, disusuli mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, dijadual jam 3 petang ini.

Parti komponen BN lain, iaitu MCA dan MIC juga difahamkan turut mengadakan mesyuarat mereka masing-masing hari ini.

Ia kemudian disusuli mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN yang dijadual berlangsung jam 8 malam ini.

Sumber dalaman BN yang dihubungi mengesahkan, wujud cadangan untuk BN membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan, yang dibawa sendiri pemimpin tertingginya.

Bagaimanapun, katanya cadangan itu mesti diteliti secara mendalam dan dipersetujui sebulat suara oleh MKT UMNO dan Dewan Tertinggi BN, sebelum dimuktamadkan.

"Parti akan putuskan," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, beberapa hari lalu menyatakan sebarang keputusan untuk menentukan gabungan parti bagi membentuk kerajaan mesti diputuskan oleh MKT UMNO dan Dewan Tertinggi BN, bukan pemimpin utama termasuk Presiden UMNO atau Pengerusi BN.

Sementara Bendahari BN, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, dalam entri di Facebooknya malam tadi menegaskan pendirian untuk menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan.

BH difahamkan, hal berkaitan pembentukan gabungan dengan PH dibincangkan panjang lebar oleh beberapa pemimpin utama UMNO dan BN malam tadi, namun sehingga pagi ini, tiada keputusan dicapai.

Turut difahamkan, berlaku 'perselisihan besar' antara pemimpin utama dalam BN mengenai cadangan menyertai gabungan dengan PH itu, yang dijangka akan lebih hangat sebaik dalam mesyuarat MKT UMNO dan Dewan Tertinggi BN hari ini.

Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang menutup tirainya semalam, menyaksikan BN tewas sekali lagi untuk meraih jumlah kerusi terbanyak bagi membentuk kerajaan.

UMNO yang menjadi terajui utamanya turut mengalami kekalahan terburuk sejak parti itu menyertai PRU selepas hanya menguasai 12 peratus atau 27 kerusi Parlimen daripada 220 kerusi Parlimen yang sudah diumumkan keputusannya.

Parti komponennya, MCA pula sekadar meraih kemenangan di dua kerusi iaitu di Parlimen Ayer Hitam dan Tanjung Piai, sementara MIC di Parlimen Tapah.

Sementara, dua Parlimen iaitu Baram di Sarawak dan Padang Serai di Kedah, ditunda tarikh pengundian berikutan masing-masing berdepan masalah cuaca serta calon yang bertanding meninggal dunia.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo