NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

AS pulangkan hampir 200 artifak jarang ditemui kepada Pakistan


KARACHI:
Amerika Syarikat (AS) telah memulangkan kepada Pakistan hampir 200 artifak yang jarang ditemui berusia 8,000 tahun, dalam salah satu penghantaran pulang barangan antik terbesar dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kata media kerajaan pada Sabtu.

Hasil siasatan ke atas seorang peniaga seni India-Amerika, barang antik milik tamadun Mehrgarh berusia 8,000 tahun itu dipulangkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri kepada Konsulat Pakistan di New York dalam satu majlis, menurut Anadolu yang memetik laporan Associated Press Pakistan yang memetik Pejabat Peguam Daerah Manhattan.

Sebanyak 192 barang antik, termasuk 187 yang dicuri dan diseludup ke New York pada 1990-an oleh Subhash Kapoor, telah diserahkan kepada Konsul Jeneral Pakistan Ayesha Ali.

Ia juga melaporkan pejabat peguam daerah mengenal pasti Kapoor, pemilik galeri seni Art of the Past di New York dan perniagaan khusus menjual barangan antik dari Asia Tenggara itu, sebagai antara penyeludup terbesar barangan antik di dunia.

Artifak itu, termasuk patung Gandharan yang menggambarkan Maitreya -- bentuk kebijaksanaan Buddha -- diletakkan dalam ruang simpanan yang disewa oleh galeri seni sehingga ia dirampas oleh pihak berkuasa AS tahun ini, katanya.

Kapoor, yang ditangkap pada Oktober 2011 di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt di Jerman dan diekstradisi ke India atas tuduhan menerima artifak curi, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun oleh mahkamah India minggu lepas.

AS yang mendakwa Kapoor dengan tujuh defendan bersama dalam "konspirasi untuk mengedar barang antik yang dicuri" pada 2019, sedang berusaha untuk mengekstradisi beliau, katanya.

"Kami akan meneruskan kebertanggungjawaban penuh terhadap Encik Kapoor dan konspirator bersamanya, yang menunjukkan secara terang-terangan mengabaikan kepentingan budaya dan sejarah barang antik ini," menurut Peguam Daerah Manhattan Alvin Bragg.

Enam daripada defendan telah disabitkan oleh mahkamah India dan Amerika dari 2013 hingga 2020, menurut pejabat peguam daerah.

Pakistan mempunyai banyak tapak arkeologi -- bertarikh beribu-ribu tahun -- kebanyakannya dihormati oleh penganut agama Buddha, Sikh dan Hindu serta agama prasejarah seperti Aryan, Barhaman dan agama Iran dan Yunani kuno.

Terletak di wilayah barat daya Balochistan, tapak arkeologi Mehrgarh ditemui pada tahun 1974 dan telah lama menjadi sasaran utama penyeludup artifak ekoran kurangnya langkah keselamatan.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo