SEBERANG JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan wujud pakatan atau rundingan dirinya bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membentuk kerajaan bersama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah, Anwar dengan tegas berkata tidak pernah wujud cadangan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan pemimpin UMNO itu seperti mana didakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata Abdul Hadi Awang sepatutnya menjaga adab dan akhlak selaras dengan imejnya sebagai seorang ulama.
“Yang mula kata kita runding dengan Zahid dengan UMNO ni, Muhyiddin dengan Ustaz Hadi.
"Ustaz Hadi dengan serban dengan jubah fitnah orang... bila yang saya runding dengan Zahid? Bila yang saya kata saya nak pakat dengan Zahid? Mana bukti dia?
"Orang agama ini kena belajar, dalam politik jaga akhlak. Kalau tidak, saya tak peduli.
"'Oh Anwar, antiulama'... siapa kata (saya) antiulama? Saya anti orang politik yang bertopengkan agama,” kata Anwar.
Media sebelum ini melaporkan Abdul Hadi dalam satu kenyataan mendakwa wujud satu muslihat antara UMNO serta BN dan PH dalam menghadapi PRU15.
Selain Abdul Hadi, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengeluarkan kenyataan sama mendakwa terdapat kemungkinan wujud kerjasama di antara kedua-dua pemimpin itu selepas pilihan raya bagi membentuk kerajaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata PH akan bekerja keras bagi meraih majoriti sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen dalam PRU15 ini.
Tegasnya, bagi memastikan PH mencapai kemenangan besar, semua kerusi Parlimen di kubu kuat PH perlu dikekalkan.
"Saya ambil pendirian bekerja bertungkus-lumus... esok di Negeri Sembilan, lepas tu Kelantan, Terengganu.
"U know why? Saya ambil risiko di Tambun, tinggal Tambun, kita nak capai sekurang-kurangnya 112 pada 19 hari bulan,” katanya lagi.
“Bagi memastikan PH mencapai kemenangan besar, kita kena kekalkan kemenangan kubu kuat kita di Bukit Mertajam, Permatang Pauh, Batu Kawan dan Nibong Tebal.
"Cuma dua kawasan yang kita tak berhasil (menang), Tasek Gelugor dan Kepala Batas.
"Kerusi ini mesti kita tawan untuk menjadikan kita pemerintah dan boleh saya pun angkat sumpah pada 20 haribulan nanti,” katanya dalam ucapan di hadapan lebih 2,000 penyokong Pakatan Harapan yang hadir pada program jelajah Mega Harapan di Tapak Ekspo Seberang Jaya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment