SEJAK kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bermula, tentera siber Pakatan Harapan (PH) ghairah mencanangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan terbaik di negara ini.
Pengerusi PH itu mula memegang jawatan Menteri Kewangan pada Mac 1991 sebelum dipecat oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2 September 1998.
Pada masa yang sama, tentera siber dan pemimpin-pemimpin PH cuba memutarbelitkan situasi kelembapan ekonomi ketika ini dengan mendakwa kononnya kerajaan yang ada gagal menguruskan negara dengan baik.
Salah satu modal yang sering dimanipulasi mereka adalah kadar pinjaman asas (BLR) yang secara puratanya sekitar 6 peratus ketika ini yang dikatakan terlalu tinggi sehingga menyusahkan para peminjam.
Namun, mereka menutup mata terhadap fakta yang menunjukkan bahawa BLR 12.27 peratus iaitu yang tertinggi dalam sejarah negara dicatatkan pada 30 Jun 1998, ketika Anwar masih lagi bergelar Menteri Kewangan.
Lebih memeritkan, kenaikan mendadak BLR tersebut berlaku ketika negara menerima tempias krisis kewangan Asia Tenggara yang menyaksikan berlaku masalah ekonomi seperti peningkatan kadar pengangguran dan inflasi.
Sudah tentu ia menyebabkan sebahagian besar rakyat yang hilang pekerjaan tidak mampu membayar balik pinjaman, sekaligus mengakibatkan mereka diisytiharkan sebagai muflis dan disenaraihitamkan oleh institusi kewangan.
Graf dari portal Malaysia BLR menunjukkan pergerakan BLR dari 1976 hingga 2013. |
Mungkin ramai tentera siber dan penyokong PH yang kini menyanjung Anwar masih kecil atau belum lagi lahir ke dunia ketika Malaysia dilanda krisis kewangan pada 1997 dan 1998.
Kepayahan hidup yang dialami rakyat ketika itu khususnya golongan muda yang menganggur selepas menamatkan pengajian tinggi menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan slogan kosong Reformasi yang diimport Anwar dari Indonesia.
Melihat kepada rekod prestasi Anwar ketika menjadi Menteri Kewangan dahulu, timbul kebimbangan tentang kemungkinan beliau mengambil langkah serupa sekiranya diangkat menjadi Perdana Menteri jika ditakdirkan PH menang esok.
Sememangnya mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Kerajaan era Dr. Mahathir mengambil masa bertahun-tahun untuk memulihkan semula ekonomi negara yang merudum semasa zaman Anwar menjadi Menteri Kewangan.
Hanya satu cara untuk mencegah senario yang menakutkan itu daripada berlaku. Jangan benarkan PH berkuasa semula dan beri kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menyambung usaha memulihkan ekonomi negara.
BN mempunyai tokoh-tokoh seperti Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mempunyai pengalaman dan kredibiliti dalam sektor korporat sebelum menyertai dunia politik.
Rekod prestasi mereka adalah jauh lebih baik berbanding Anwar yang tiada pengalaman dalam dunia korporat atau Rafizi Ramli yang gagal membuktikan formula harga minyak RM1.50 seliter boleh dilaksanakan.
Tidak cukup dengan itu, pengalaman perit hidup di bawah kerajaan PH selama 22 bulan sudah cukup untuk memberi sebab kepada rakyat untuk memberi mandat kepada BN yang terbukti mampu mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di Malaysia. – MalaysiaGazette
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment