NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar elak kritik Zahid ketika berkempen di Bagan Datuk


Anwar Ibrahim kelihatan menyelar setiap musuh politiknya dalam satu pentas ceramahnya di Bagan Datuk, daripada Muhyiddin Yassin hingga Dr Mahathir Mohamad ketika baki kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Namun ada satu nama yang terlepas daripada ucapan presiden PKR yang berapi-api itu. 

Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno yang bakal mempertahankan kerusinya di Bagan Datuk. 

Anwar lebih berminat menyelar apa yang disifatkan ketirisan semasa pentadbiran Muhyiddin semasa pandemik melanda dunia pada 2020, namun tidak sekalipun menyentuh kes rasuah membabitkan Zahid.

Anwar yang bertanding di Tambun turut cuba meredakan spekulasi persefahaman sulit yang disebut-sebut antara beliau dan presiden Umno itu. 

"Kita hantar panglima (Shamsul Iskandar) untuk lawan Zahid. Orang kata Anwar ada rundingan dengan anak muridnya. Saya kawan semua, tiada musuh peribadi.

"Najib Razak masukkan saya dalam penjara saya tak ungkit, cuma nasib dia kurang baik dia masuk (penjara). Karma." katanya ketika berkempen di kubu kuat Zahid hari ini. 

Calon PH, Shamsul Iskandar ditugaskan merampas kerusi Zahid di Bagan Datuk.

Zahid, yang baru-baru ini dilepaskan dan dibebaskan berhubung pertuduhan rasuah visa luar negara, namun masih berdepan 47 pertuduhan membabitkan salah guna wang Yayasan Akalbudi.

Intonasinya lebih garang ketika menyelar Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria. 

Sambil membangkitkan semangat penyokong, beliau berulang kali memanggil Razman sebagai bodoh.

Razman sebelum ini mendakwa Anwar akan menghalalkan perkahwinan sejenis sementara DAP akan membawa agenda komunis sekiranya menang pada PRU15. 

Abdul Hadi Awang, presiden PAS tidak terlepas daripada mulut Anwar. 

Bekas sekutunya itu disifatkan Anwar sebagai penunggang agama. 

"Saya berkempen dengan Nik Omar. Dia beritahu ayahnya (Nik Aziz) tidak putus mendoakan saya jadi perdana menteri.

“Yusuf Qardhawi, ulama nombor satu dunia, bos Hadi sokong Anwar jadi perdana menteri," katanya. 

Anwar turut memaklumkan tidak akan mempercayai Mahathir, ketika bekas perdana menteri itu memaklumkan sanggup bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain.  

"Cukuplah Mahathir," katanya diiringi sorakan daripada hadirin. 

“Rakyat bukan bodoh, dah bagi peluang (tapi dia) buat lagi."


 



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo