Desas-desus kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semakin bertiup kencang, apabila pemimpin kedua-dua gabungan itu dikatakan akan mengadakan perjumpaan di Hotel Seri Pacific, di Kuala Lumpur pada jam 10 pagi esok.
Beberapa sumber PH dan BN memberitahu perkara itu kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak tidak memberitahu tujuan perjumpaan itu diadakan.
"Saya diberitahu memang ada perjumpaan antara pemimpin PH dan BN.
Jumpa lepas penat kempen PRU15
"Tapi, saya masih tidak pasti perjumpaan itu berkenaan apa," kata sumber BN itu ketika dihubungi.
Sementara itu, satu lagi sumber dari PH berkata bahawa ia sekadar perjumpaan biasa sahaja.
"Bukan rasmi. Sekadar perjumpaan biasa.
"Tak salah, jika pemimpin PH dan BN berjumpa dan bertukar pandangan selepas penat dengan kempen pilihan raya," katanya.
Selepas lebih 24 jam berakhirnya PRU15, belum ada mana-mana parti yang mampu membentuk kerajaan secara sendiri ekoran situasi parlimen tergantung.
Keputusan rasmi menunjukkan PH menjadi parti yang memiliki kerusi terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.
BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada PRU ke-14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.
Petang tadi Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan kesediaan mereka untuk menyokong kerajaan pusat yang menggabungkan PN dan BN.
Yakin diberi peluang
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula memberitahu dia yakin akan dapat mencukupkan bilangan kerusi minimum di Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan, seterusnya menjadi perdana menteri sekali lagi.
Bagaimanapun BN kemudian mengeluarkan kenyataan balas menafikan mereka ada berunding sama ada dengan GPS atau BN.
Berdasarkan keadaan semasa kerjasama di antara PN dan GPS masih belum cukup untuk mereka mendapat penguasaan majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata tiada sebarang perundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan itu.
Ahmad Zahid mengingatkan semua ahli parlimen BN yang menang PRU15 telah menandatangani akujanji pilihan raya.
Menurutnya aku janji itu memberi mandat kepadanya selaku presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.
"Katanya, mana-mana ahli parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi parlimen, selaras dengan undang-undang larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Anwar pula berkata dia juga gembira kerana isu mencukupkan bilangan ahli parlimen bagi membentuk kerajaan sudah diselesaikan oleh PH.
"Dengan tahap sokongan yang diterima, saya yakin akan diberikan peluang untuk memimpin negara ini," katanya dalam temu bual yang disiarkan Astro Awani.
Yang di-Pertuan Agong memberi tempoh sehingga jam 2 petang esok untuk pemimpin utama parti yang terlibat dalam PRU membuktikan mereka mempunyai majoriti di Dewan Rakyat sebelum mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment