Seluruh jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak terlebih yakin dalam menghadapi parti-parti yang bersaing dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 kali ini, kata Annuar Musa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia sementara itu berkata ini kerana BN dilihat berdepan cabaran sukar untuk memperoleh kemenangan pada PRU kali ini.
"Sebenarnya, cabaran yang perlu dihadapi oleh BN sangat besar dan saya secara jujur saya menyatakan kalau rakan-rakan dalam BN merasakan ini satu pilihan raya yang mudah, saya rasa kita silap.
"Saya sendiri ada menghantar pesanan syor-syor saya kepada setiausaha khas kepada presiden memberikan pandangan saya bahawasanya ini satu pilihan raya yang uphill dan jangan ada sebarang rasa over confident (terlebih yakin) kerana tentangan yang diberikan oleh parti-parti adalah agak sengit," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama penduduk Pulau Bahagi, Manir, Hulu Terengganu, malam tadi.
Hadir sama calon kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Rozi Mamat.
Mengulas lanjut, Annuar yang tidak tersenarai sebagai calon untuk mempertahankan Ketereh berkata pada PRU kali ini BN berdepan dengan banyak faktor yang tidak ada sebelum ini.
"Pertamanya kita menghadapi jumlah pengundi muda yang ramai bila kita ada undi18 (penurunan had umur minimum pengundi kepada 18 tahun).
"Yang keduanya, kita melalui episod pertukaran tiga kerajaan yang akan membuatkan rakyat membuat penilaian kepada ketiga-tiga tempoh yang berkenaan dan seterusnya adalah masalah dalaman yang ada dalam Umno sendiri yang perlu diuruskan
"Jadi, saya merasakan pilihan raya ini sangat mencabar dan bukan laluan yang mudah," katanya.
Oleh itu Annuar mengingatkan pimpinan BN tidak mengambil mudah dalam kempen yang berbaiki beberapa hari saja lagi ini.
"Jangan ambil mudah, saya rasa jentera Umno terutama sekali di ibu pejabat Umno sementara hari (kempen) ada berbaki lagi mesti melipat gandakan usaha.
"Semua parti sengit dan bergantung pada kawasan. Lain kawasan, lain parti yang memberi tentangan sengit sebab tidak semua parti kuat di semua kawasan
"Jadi, ketiga-tiga parti terutama sekali BN, PH dan PN kelihatan memberikan tentangan yang sengit di kebanyakan tempat dan undi berpecah," katanya.
Perwatakan pemimpin baik
Sementara itu, mengulas kenyataan calon Sungai Buloh BN Khairy Jamaluddin yang menyuarakan hasrat untuk memimpin Umno dan seterusnya menjadi perdana menteri satu hari nanti, Annuar berkata dia mengalu-alukan pemimpin muda yang tidak ada inferiority complex (kurang keyakinan diri).
Kata Annuar, ini kerana ia penting untuk menjadi pemimpin yang baik.
"Pada saya, saya mengalu-alukan pemimpin muda yang tidak ada inferiority complex, dalam memimpin ini kalau ada ...kurang keyakinan diri kamu tak akan boleh jadi pemimpin yang baik.
"Jadi Khairy dah menunjukkan satu karekter yang mana menunjukkan keyakinan kepada dirinya, soal jadi itu wamakaru wamakarullah (mereka merancang, Allah juga merancang) tetapi perlu datang pada kesanggupan.
"Khairy menyatakan kesanggupan, bukan untuk masa sekarang dan bukan untuk pilihan raya ini," katanya.
Mengulas lanjut, Annuar juga berkata kenyataan menteri kesihatan itu juga perlu difahami dengan mendalam.
"Maksud dia itu kena faham, bila Khairy kata kalau rakyat (parlimen) Sungai Buloh beri (mandat) supaya perjalanan politiknya tidak terencat, itu pentingnya Sungai Buloh beri (mandat) bukan dari situ terus nak jadi perdana menteri.
"Sebab calon perdana menteri kita adalah Ismail Sabri Yaakob tapi Khairy kata dia terpaksa dipindahkan daripada kawasan dia dan pergi ke kawasan yang asing pada dia dan mempunyai rekod majoriti kalah yang besar.
"Jadi, mesej yang Khairy nak jalankan adalah orang Sungai Buloh mempunyai saham yang besar untuk menyambung hayat politik seorang anak muda yang berkebolehan dan berpotensi untuk menjadi perdana menteri suatu hari nanti," katanya.
Khairy ketika berucap dalam satu ceramah umum di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, pada 8 November berkata dia berhasrat mahu memimpin Umno dan akan menjadi perdana menteri suatu hari nanti.
Khairy dipetik sebagai berkata sekiranya pengundi Sungai Buloh boleh mengundinya sekali gus memenangi kerusi parlimen itu, dia bukan hanya akan membela nasib masyarakat di sana tetapi juga memimpin negara pada satu hari nanti.
Tak fikir soal jawatan
Manakala diminta mengulas apakah Annuar ada ditawarkan sebarang jawatan sebaik sahaja BN mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya kali ini, pemimpin Umno itu menegaskan jawatan tidak penting baginya.
"Jawatan bagi saya tak penting, saya dah lama dan saya dah banyak pegang jawatan. Saya dah bertanding sebanyak lapan penggal, saya dah jadi menteri sebanyak empart portfolio. Saya pun dah jadi ahli Dewan Negara dan Negeri serta Dewan rakyat.
"Jadi, saya tak memikirkan soal apa-apa jawatan. Yang saya nak tengok adalah (pembentukan) kerajaan (baru)," katanya.
Ujar Annuar, berdasarkan pengalamannya dalam kerajaan dia merasakan cabaran besar menanti mereka yang bakal diangkat sebagai ahli parlimen bagi penggal PRU kali ini.
"Tahun 2023 akan datang bukan tahun yang biasa-biasa, sebab kita akan membentuk kerajaan dalam suasana ekonomi dunia yang sangat mencabar, kadar inflasi yang tinggi dan kebanyakan negara berada dalam defisit yang besar akibat daripada perbelanjaan yang diluar jangka semasa sepanjang tempoh Covid-19, berbilon dibelanjakan sewaktu tempoh Covid-19 yang tidak ada dalam belanjawan menyebabkan kesemua negara rizabnya menurun.
“Semua negara mengalami defisit belanjawan. Jadi, kerajaan yang baru yang akan datang kena menguruskan ekonomi, kena menguruskan kestabilan politik, kena uruskan kewujudan peluang-peluang pekerjaan," katanya.
Tambah Annuar, sekiranya kerajaan yang dipilih kelak tidak berupaya untuk mentadbir negara sekali lagi akan mengulangi apa yang telah dilalui sepanjang PRU ke-14.
"Kalau kerajaan yang tidak mempunyai keupayaan dan pengalaman maka kita akan mengulangi apa yang telah kita lalui sepanjang selepas PRU14 dan itu sangat merugikan rakyat
"Jadi, saya merasakan kerajaan BN menawarkan kestabilan dan kemakmuran dan juga berdasarkan kepada pengalaman yang ada pada saf pimpinan BN itu jauh melebihi keupayaan mana-mana saja parti yang bertanding," tambahnya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment