Kuala Lumpur: Dimaki dan dicaci depan muka antara cabaran dilalui penyanyi terkenal Datuk Aishah ketika menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan.
Aishah, 57, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin berkata, menjadi calon mewakili parti Pas ketika itu memerlukan hati kental untuk berdepan dengan pelbagai situasi.
"Ketika menjadi calon, pelbagai cabaran ditempuh. Bukan semua orang menyokong kita. Kalau lalu sahaja akan diejek dan macam-macam dicakap depan muka kita.
"Itu satu perkara yang mengejutkan, apatah lagi yang mengeluarkan kata-kata kesat itu daripada mak cik, pangkat mak kita.
"Tapi itulah dalam politik kena kental hati, terima hakikat yang mana bukan semua, ramai tak sokong dan maki. Selain itu, cakap macam-macam cerita mengenai kita, itu kena hadapi.
"Masa itu saya tidak bersalaman dengan bukan mahram. Saya ingat lagi sewaktu berkempen, ada orang tua lelaki nak bersalam dengan saya tetapi saya tarik tangan ke dada.
"Dia bukan main marah sedangkan itu adalah pendirian saya. Malah sebelum menjadi calon pun ketika mula berhijrah, saya tidak bersalaman dengan lelaki bukan mahram.
"Sampai sekarang ini prinsip saya. Saya percaya ia hukum agama. Namun, ketika itu, ia ibarat satu tamparan kepada pak cik itu," katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut Aishah, menjadi calon PRU memberikannya pengalaman baharu buat dirinya selain ia membina karakter.
"Menjadi calon PRU satu pengalaman baik. Bagi saya, ia satu pengalaman membina karakter.
"Banyak perkara yang saya lalui semasa berkempen, menjadi calon yang membuatkan saya sedar, saya ini orang yang macam mana apabila berdepan situasi itu. Pendek kata ia pengalaman mahal.
"Ia perkara yang hebat apabila menjadi calon. Apatah lagi saya orang baharu ketika itu tetapi dapat melalui pengalaman yang baik," katanya.
No comments
Post a Comment