NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Aishah cabar Razman debat terbuka di Bagan Serai

Siti Aishah Shaik Ismail berkata permintaan Razman Zakaria untuk berdebat akan memberi kelebihan kepada PH kerana rakyat di Bagan Serai lebih mudah untuk memilih pada 19 Nov ini.


BAGAN SERAI: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Siti Aishah Shaik Ismail mencabar Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria untuk membuka gelanggang debat di Bagan Serai berkait tuduhan pemimpin PAS itu terhadap Anwar Ibrahim.

Aishah yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bagan Serai berkata, tiada keperluan untuk Anwar melayan politik murahan Razman, yang mana rakyat di kawasannya sendiri sudah menolak beliau.

“Tak perlu ada sesi debat dengan Anwar, kita buka pentas terbuka (debat) antara Razman dan saya di Bagan Serai.

“Tak perlu Anwar melayan politik murahan yang dibawa Razman, tapi di Bagan Serai rakyat perlu tahu pegangan dan prinsip yang dibawa Razman dan kita bersedia di Bagan Serai pada bila-bila masa untuk berdepan Razman,” katanya selepas beramah mesra dengan penduduk Alor Pongsu bersama calon PH Bandar Tun Razak Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam, Razman yang juga calon DUN Gunong Semanggol menegaskan beliau tidak akan tunduk terhadap tuntutan maaf ganti rugi oleh Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya yang mengaitkan ketua pembangkang itu mempromosikan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Malah, beliau mencabar Anwar berdebat mengenai isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Aishah berkata permintaan Razman untuk berdebat juga akan memberi kelebihan kepada PH kerana rakyat di Bagan Serai lebih mudah untuk memilih pada 19 Nov ini.

“Razman seorang yang ego dan tak berpijak di bumi nyata, dia hanya memperlihatkan keegoannya dan akhirnya saya yakin rakyat Bagan Serai akan menilai dia dari segi sikap yang akhirnya membuka pekung dia sendiri.

“Rata-rata bila kita turun banyak perkara dibangkitkan berkaitan sikap beliau, kerja beliau di lapangan, saya serahkan semula kepada penduduk Bagan Serai untuk menilai dan melihat macam mana pemimpin yang harus diangkat di Gunung Semanggol sebagai pemimpin masa depan,” katanya.

Anwar sebelum ini menuntut permohonan maaf daripada Razman berhubung kenyataannya ketika berkempen mendakwa presiden PKR dan pengerusi PH itu akan mempromosikan agenda LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis serta menyokong isu komunis.

Dalam surat tuntutan (LOD) yang dihantar kepada Razman pada 8 Nov, Anwar juga menuntut RM5 juta sebagai ganti rugi kerana mencemarkan reputasinya, berserta kos guaman.


Sumber I FMT Malaysia 





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo