BATU PAHAT: Beberapa kawasan sekitar Punggur, Rengit, di sini, dinaiki air sejak jam 9 pagi tadi berikutan fenomena air pasang besar.
Penduduk, Pun Kawi, 62, berkata beliau sekeluarga kini berjaga-jaga dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan kesan fenomena itu, tambahan pula dengan cuaca hujan yang kadang-kadang lebat.
"Paras air laut naik mencecah 3.4 meter (m) sehingga melimpah ke tebing pantai berikutan ombak besar, menyebabkan kawasan kedai berhampiran ditenggelami air kira-kira jam 9.30 pagi tadi, " katanya.
Ketua Komuniti Nelayan Kampung Sungai Punggur Laut, Abdullah Kassim, 65, berkata kejadian air pasang besar sudah lumrah bagi penduduk dan nelayan pantai di kawasan berkenaan.
"Jika ia disusuli ribut serta hujan lebat berterusan, memang berbahaya dan perlu lebih berhati-hati. Namun, kami biasanya akan melihat keadaan cuaca terlebih dahulu sebelum turun ke laut.
"Bukan hanya nelayan terjejas mata pencarian tetapi juga peniaga gerai di Pantai Rekreasi Punggur. Mereka tidak dapat berniaga kerana kawasan gerai dinaiki air berikutan air pasang besar," katanya ketika ditemui, hari ini.
Justeru, beliau berkata, pihaknya menggesa benteng pemecah ombak atau batu bom dibina bagi menggantikan benteng sedia ada yang tidak lagi dapat menampung kesan ombak kuat ketika air pasang besar.
"Sejak lima tahun kebelakangan ini, ombak semakin kuat dan air pasang kian tinggi. Keadaan semakin teruk dan memerlukan tindakan segera dengan pembinaan batu bom di sepanjang kawasan pantai kira-kira enam kilometer," katanya.
Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Penguasa Bomba Kanan ll Mohd Salleh Abdul Rahim, berkata pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sebagai langkah berjaga-jaga.
"Hasil tinjauan mendapati keadaan di Kampung Sungai Perpat dan Kampung Sungai Punggur Laut agak terkawal, dengan air yang melimpah ke kawasan terbabit hanya setinggi kira-kira 0.5 meter.
"Begitupun, orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika mengunjungi kawasan rekreasi di pesisir pantai di Batu Pahat dan sentiasa mematuhi arahan terkini daripada pihak berkuasa," katanya.
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment