IPOH - Perikatan Nasional (PN) menafikan mereka tidak bersetuju memberikan sebarang peranan kepada BN untuk membentuk kerajaan bersama di Perak.
Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendedahkan berlaku pertemuan di antara Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi menubuhkan kerajaan negeri di Perak pada Ahad di Kuala Lumpur disaksikan Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Menurutnya, dalam pertemuan itu, Saarani berhasrat jawatan Menteri Besar Perak dikekalkan milik BN jika rundingan di antara PN dan BN itu berjaya.
"Saya juga telah menyatakan kebimbangan saya dengan keadaan di mana Kerajaan Negeri Perak belum membentangkan belanjawan negeri untuk tahun 2023 dan kemelut politik mesti dirungkai segera demi kepentingan rakyat.
"Saya tegaskan, PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama namun, pihak beliau bertegas untuk PN menawarkan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan akhbar pada Isnin.
Ahmad Faizal berkata, keputusan tidak dapat dicapai ketika itu kerana Saarani mahu merujuk kepada kepimpinan UMNO sebelum membuat sebarang persetujuan.
Katanya, bagaimanapun pada hari ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan bersama kepimpinan UMNO telah menyelamatkan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya.
Menurutnya, tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak adalah amat besar dan seharusnya sumpah setia jawatan yang dibacakan dengan kalimah suci tidak disusuli dengan penipuan kepada rakyat jelata.
Pada Isnin, Saarani mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-15 selepas BN membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan sebanyak 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.
Ketika sidang akhbar selepas itu, Saarani mendedahkan kerjasama dengan PH terbentuk selepas BN diberikan peranan di dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu termasuk diberikan jawatan Menteri Besar Perak.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan PN mendominasi kerusi DUN di Perak sebanyak 26 kerusi diikuti PH yang memenangi 24 kerusi dan BN pula hanya memenangi sembilan kerusi.
Sekurang-kurangnya sebanyak 30 kerusi DUN sebagai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri di Perak.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment