KOTA BHARU: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor mendakwa sehingga saat ini belum menerima watikah perlantikan walaupun hari penamaan akan berlangsung esok.
Beliau berkata, watikah untuk penggunaan logo bulan mewakili parti PAS yang ditandatangani Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya diterima sebaik diumumkan sebagai calon.
Dakwanya lagi, perkara itu menimbulkan rasa pelik dan seolah-olah ada sesuatu yang berlaku di sebaliknya dengan memberi bayangan bakal ada kejutan yang menanti.
"Setakat ini saya masih belum menerima apa-apa watikah, saya nak guna lambang apa esok (penamaan calon)? Seolah nak main-mainkan saya sedangkan saya dipilih, bukan sendiri nak jadi calon.
"Sepatutnya masa hari umum (pengumuman calon) tu watikah sudah diberi, tapi macam mana nak jadi wakil parti kalau Haji Hadi (Presiden PAS) tak 'sign'?
"Kita tunggu sehingga jam 8 pagi esok. Saya tetap akan ke pusat penamaan calon tapi kalau masih tiada (watikah), saya pulang saja lah tapi ada terdengar di telinga saya bahawa terdapat kejutan esok," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau ditemui di kediamannya di Kampung Kadok di sini selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 500 veteran tentera.
Khlir dari BERSATU adalah antara muka baharu yang dipilih untuk calon PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Khlir yang juga bekas Ketua Perisikan Tentera Darat selama 11 tahun berkata, walau tidak pernah bergiat dalam politik sebelum ini tapi yakin sokongan daripada veteran tentera bakal berpihak kepadanya.
"Saya tak 'gedebe' (samseng) tapi ramai kawan, banyak bantu orang terutama veteran tentera dan jika ada rezeki saya nanti (jadi Ahli Parlimen), 50 peratus fokus saya adalah untuk veteran tentera.
"Nasib veteran tentera akan dibela kerana saya tahu macam mana peritnya kehidupan mereka ini selepas tamat khidmat, malah ada yang seolah mengemis untuk minta bantuan," katanya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment