NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

82 Parlimen berdepan saingan 4 penjuru


KUALA LUMPUR: Pertembungan 10 penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi medan tempur politik paling menarik dengan calon paling ramai dan meriah pada PRU15.

Kerusi Parlimen Batu dipertahankan P Prabakaran atas tiket Pakatan Harapan (PH), dan calon lain termasuk bekas timbalan menteri luar, A Kohilan Pillay daripada Barisan Nasional (BN); Azhar Yahya mewakili Perikatan Nasional (PN); dan peguam, Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang).

Ia juga menyaksikan kemunculan semula bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang bertanding atas tiket bebas selain Naganathan Pillai (Warisan), Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia), serta peguam, Siti Zabedah Kasim, yang lebih dikenali sebagai Siti Kasim; pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwan Shaharudin, atau lebih terkenal dengan gelaran Cleopatra; dan Too Cheng Huat masing-masing calon bebas.

Seterusnya pertandingan sembilan penjuru di Parlimen Ampang menyaksikan Zuraida Kamruddin mempertahan kerusi itu atas tiket Parti Bangsa Malaysia, ditentang enam calon mewakili pelbagai parti dan tiga calon bebas.

Pertembungan lapan penjuru pula berlaku di tiga kerusi Parlimen iaitu Sepang, Bangi dan Kota Raja, dengan paling mencuri tumpuan pastinya Sepang di mana Ketua Wanita PN, Rina Mohd Harun, berdepan tujuh pencabar di kawasan yang sebelum ini dimenangi calon Amanah pada PRU14; selain Presiden Amanah Mohamad Sabu di Kota Raja.

PRU15 turut menyaksikan pertembungan tujuh penjuru di lima kerusi Parlimen. Antara yang menarik perhatian ialah Parlimen Sungai Siput di mana S Kesavan daripada PH dicabar Presiden MIC, SA Vigneswaran daripada BN serta lima lagi temasuk tiga calon bebas.

Pertembungan enam penjuru pula berlaku di 24 kerusi Parlimen manakala 43 Parlimen menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Pertembungan empat penjuru ternyata mendominasi bilangan kawasan Parlimen, melibatkan 82 daripada keseluruhan 222 kerusi yang dipertandingkan.

Antara kerusi tumpuan ialah Parlimen Tambun – menyaksikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim menentang Ahmad Faizal Azumu, serta calon BN dan Pejuang.

Malah puteri sulung Anwar, Nurul Izzah, turut bertanding bagi mengekalkan Permatang Pauh – kerusi tradisi PKR dalam pertandingan empat penjuru berdepan calon BN, Mohd Zaidi Mohd; Muhammad Fawwaz Mat Jan yang mewakili PN; dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mohd Nasir Othman.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi turut berdepan pertandingan empat penjuru manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Reezal Merican Naina Merican pula berdepan tugas berat bagi mempertahan kerusi Parlimen Kepala Batas iaitu satu daripada dua kerusi yang dimenangi parti itu di Pulau Pinang sebelum ini.

Pertandingan tiga penjuru pula membabitkan 54 Parlimen dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob antara calon tumpuan yang ditentang dua pencabar di Parlimen Bera.

Saingan satu lawan satu pula memperlihatkan sembilan pertandingan iaitu di Parlimen Kinabatangan, Kota Samarahan, Batang Sadong,Tanjong Manis, Igan, Sarikei, Mukah, Hulu Rajang dan Limbang.

Bagi kerusi DUN pula, pertembungan tiga penjuru paling banyak mendominasi membabitkan 51 kawasan, diikuti empat penjuru (47), lima penjuru (12), enam penjuru (empat).

Menteri Besar Perlis, Azlan Man, yang merupakan mempertahankan DUN Bintong, berdepan saingan enam penjuru manakala Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail pula menggalas misi mempertahan kerusi DUN Jelai dengan menentang tiga lawannya.

Hanya terdapat satu pertembungan satu lawan satu iaitu di DUN Kemayan, Pahang manakala dua pertembungan tujuh penjuru dicatatkan di DUN Chenderiang, Perak dan DUN Bugaya di Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 hari bermula hari ini untuk berkempen sebelum pengundian awal pada 15 Nov dan pengundian pada 19 Nov.


Sumber I Fmt Malaysia



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo