Alimuddin (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan RUMIA sambil disaksikan Md Amin (empat dari kiri) di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI Tanjung Malim. - Astro AWANI
MUALLIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Persidangan Rumpun Melayu Sedunia (RUMIA) yang mengumpulkan lebih 500 pakar rujuk peradaban bangsa Melayu di universiti itu.
Persidangan dua hari yang berakhir hari ini antara lain berkongsi pendapat melalui forum ilmiah serta pameran berkaitan kebudayaan, kesenian Melayu menerusi Karnival Kearifan Lokal.
Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata, bangsa Melayu melakar sejarah yang panjang dalam perjalanan ketamadunan bangsanya yang tidak boleh disangkal lagi.
“Melalui sejarah yang sudah tercatat dalam manuskrip-manuskrip dalam arkib perpustakaan negara mahupun luar negara, membuktikan bahawa bangsa Melayu bukan sahaja hebat dalam bidang diplomatik, malah mampu membentuk sebuah kerajaan kuat dan disegani suatu ketika dahulu.
“Namun, bangsa Melayu juga terkenal dalam bidang persenjataan, perubatan, perdagangan, kesenian dan sebagainya yang di dalamnya penuh dengan falsafah yang tersendiri,” katanya ketika merasmikan persidangan itu.
Menurutnya, falsafah-falsafah itu juga melambangkan pemikiran rumpun Melayu yang unik dan pelbagai kerana mereka bukan sahaja mendiami Malaysia tetapi juga di Indonesia, Brunei, Singapura, sebahagian Thailand dan Filipina serta beberapa buah negara di Asia Tenggara seperti Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapannya mengajak hadirin untuk mengenang kembali perjuangan institut pendidikan terulung tersebut yang menginjak usia100 tahun.
Katanya, bermula sebagai Sultan Idris Training College (SITC) pada 29 November 1922, ia menjadi institusi penting yang diilhamkan oleh Raja-raja Melayu ketika itu untuk melahirkan barisan pendidik yang mengemudi pemikiran bangsa Melayu suatu ketika dahulu.
“Bumi Muallim dipilih kerana lokasinya yang terletak hampir dengan keempat-empat buah negeri ini (Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan), lengkap dengan kemudahan pengangkutan kereta api bagi memudahkan anak-anak dari seluruh nusantara untuk melanjutkan pengajian,” ujarnya.
Persidangan RUMIA dan Karnival Kearifan Lokal turut menampilkan ucap tama daripada pakar dari beberapa universiti dalam dan luar negara.
Majlis diserikan persembahan kebudayaan dan kesenian seperti Seni Silat Muzik Asli, Dikir Barat, Muzik Gamelan, Rebana Perak serta Persembahan Tradisional Bengkalis Indonesia, masyarakat Melayu Siam.
Selain itu turut diadakan forum dan pameran busana Rumpun Melayu, Kadazan Dusun, kain tenun dan makanana tradisional Bengkalis Indonesia, Etnologi Dunia Melayu dari Jabatan Muzium Malaysia, Perbadanan Muzium Melaka, Muzium Etnografi Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan Muzium Layang-layang Pasir Gudang, Johor.
Turut menarik perhatian ialah demostrasi masakan tradisional dodol dan kraftangan Melayu seperti tekat, ukiran kayu, seramik, tikar mengkuang, dan tengkolok.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment