PERDANA Menteri Britain, Rishi Sunak (tiga dari kiri) berbual dengan beberapa jururawat ketika melawat Hospital Universiti Croydon di selatan London pada 28 Oktober lalu. - AFP |
LONDON: Lebih 300,000 jururawat di seluruh United Kingdom (UK) mengundi untuk melakukan mogok secara besar-besaran berhubung isu pembayaran gaji.
Mogok yang melibatkan ahli Royal College Nursing (RCN) itu merupakan yang terbesar dalam tempoh 106 tahun penubuhan kesatuan tersebut.
Agensi berita PA melaporkan, mogok terbesar itu dijangka dilakukan sebelum sambutan Krismas pada 25 Disember.
Sejak beberapa tahun lalu, RCN aktif memperjuangkan tuntutan kenaikan gaji bagi jururawat iaitu sebanyak lima peratus berikutan inflasi yang semakin meningkat di negara ini.
Selain soal gaji, mogok itu juga dijangka mengetengahkan isu operasi dan temu janji melibatkan pesakit yang tertangguh susulan pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Mogok kami akan membawa semua isu berkaitan pesakit dan juga apa masalah yang perlu ditanggung jururawat. Dalam hal ini, kami saling menyokong antara satu sama lain,” menurut setiausaha RCN, Pat Cullen.
Dalam pada itu, satu lagi sumber RCN memaklumkan kepada media tempatan, mogok berkenaan bakal menyaksikan semua perkhidmatan utama bakal terjejas dan semua jururawat ‘bersatu hati’ untuk menjayakan mogok tersebut.
Tindakan itu secara tidak langsung menyaksikan Perdana Menteri Britain baharu, Rishi Sunak berdepan satu lagi cabaran ketika beliau dan Menteri Kewangan, Jeremy Hunt berusaha keras untuk mengisi kelompongan dana berjumlah 50 bilion pound (RM270 bilion) dalam kewangan kerajaan.
Sejumlah analisis sebelum ini menunjukkan gaji jururawat berpengalaman jatuh sehingga 20 peratus sejak 2010, selain RCN mendakwa golongan itu sering ‘dieksploitasi’ oleh kerajaan UK. – AFP
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment