NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

3 kerusi ditawarkan kepada ‘friends of BN’ buat MIC ‘kecil hati’?


PETALING JAYA:
Tindakan MIC tidak hadir ketika penamaan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mencetuskan tanda tanya kerana dilihat sebagai “melawan” pengerusi gabungan itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam tindakan mengejutkan, kesemua 10 calon parti itu yang dinamakan oleh Zahid tidak hadir. Malah kerusi di sebelah ketua MCA, Wee Ka Siong, yang sepatutnya untuk Presiden MIC SA Vigneswaran dilihat kosong.

Sumber dalam parti berkata, ia berpuas hati dengan bilangan kerusi dan tempat yang ditawarkan. Bagaimanapun, kerusi ditawarkan kepada parti bangsa India yang dianggap “friends of BN” mungkin menyebabkan pemimpinnya sedikit kecil hati.

Parti berkenaan adalah Makkal Sakti, Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan Kongres India Muslim Bersatu (Kimma) yang sebelum ini memohon menyertai BN namun dibantah keras oleh MIC. Perlembagaan BN menyatakan sebarang kemasukan mestilah berdasarkan keputusan sebulat suara.

Presiden Makkal Sakti T Thanendran diserahkan kerusi Nibong Tebal yang sebelum ini diberi kepada Gerakan ketika masih dalam BN, manakala Presiden IPF T Loganathan bakal bertanding di Jelutong. Presiden Kimma Syed Ibrahim Kader pula ditawarkan kerusi Puchong.

“Kerusi Sungai Buloh parti itu pula telah diberikan kepada Khairy Jamaluddin. Pemimpin MIC difahamkan mahukan Puchong dan Batu tetapi hanya diberikan Batu.

“Selain itu, mereka kebanyakannya mendapat apa yang dimahukan,” kata sumber.

Sumber lain berkata, parti itu menjadi sekutu kuat Umno khususnya selepas kekalahan teruk dialami dalam pilihan raya lalu.

“Pilihan raya kecil pertama selepas PRU14 adalah bagi kerusi Camerons Highland yang sebenarnya dimenangi calon MIC namun diisytiharkan terbatal oleh mahkamah.

“Vigneswaran dengan baik hati memberi laluan kepada Umno untuk kembali, dan merasakan mereka seolah-olah tidak mengenang budi,” katanya.

Calon MIC bakal bertanding di Sungai Siput (Vigneswaran), Tapah (M Saravanan), Hulu Selangor (T Mohan), Teluk Intan (T Murugiah), Padang Serai (C Sivarraajh), Batu (A Kohilan Pillay), Port Dickson (M Kamalanathan), Kuala Langat (M Mohana), Kota Raja (D Kajendran) dan Segamat (MP Ramasamy).

“Mari kita lihat apa diputuskan jawatankuasa kerja pusat esok. Selain dua isu itu, keadaan tidaklah teruk kerana beberapa kerusi sebenarnya sangat dikehendaki Umno tetapi Zahid tidak mengalah,” katanya.

Vigneswaran terdahulu berkata, jawatankuasa kerja pusat akan mengadakan pertemuan esok untuk memutuskan sama ada parti itu bakal bertanding dalam PRU15, dalam pada desas-desus mengatakan MIC mungkin tidak menyertai pilihan raya kali ini.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo