Kuala Lumpur : Seramai 146,737 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan akan mengundi pada hari pengundian awal Pilihan Raya Umum (PRU-15), Selasa ini.
Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, sebanyak 153 pusat mengundi awal ATM diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai pusat pengundian awal bagi anggota dan pasangan mereka di seluruh negara.
“Bagaimanapun proses membuang undi bagi anggota yang didaftarkan sebagai pengundi pos sudah bermula 7 November lalu sehingga 19 November nanti sebelum jam 5 petang selepas menerima Sampul Keutamaan Kertas Undi Pos (SKKUP) yang dikeluarkan oleh pegawai pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya.
“Menjadi harapan ATM agar proses pengundian berkenaan berjalan lancar bagi membolehkan setiap anggota dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi yang sah sepertimana rakyat Malaysia yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Affendi berkata, ATM juga sentiasa menyokong proses dan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
“Atas kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma-norma integriti di dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara.
“Apa yang penting adalah ATM akan terus memberi fokus keutamaan dalam memperkasakan kesiapsiagaan angkatan demi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara pada sebilang masa.
“Apatah lagi, ketika negara kini sudah mula memasuki Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang bermula sejak 7 November lalu dan akan berlarutan sehingga Mac 2023,” katanya.
Beliau berkata, ATM sudah bersiap siaga dan bersedia untuk mengatur gerak aset sekiranya berlaku banjir terutama di negeri berisiko terjejas dengan bencana itu.
“Dalam pelaksanaan PRU ke-15 terutama pada 19 November nanti, ATM juga bersedia menghulurkan bantuan kepada pihak SPR, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa awam dalam memastikan perjalanan proses pengundian di seluruh negara berjalan lancar.
“Pada masa sama, ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang kemungkinan tidak diingini sepanjang proses pengundian dan apabila keputusan pilihan raya diumumkan nanti,” katanya.
-Harian Metro
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment