Sekurang-kurangnya 12 penyandang kerusi parlimen dari BN yang tidak terpilih untuk menjadi calon buat parti berkenaan dalam PRU akan datang.
Seorang daripada mereka ialah Najib Razak (Pekan) yang kini dipenjarakan atas kesalahan jenayah, dan dua penyandang yang sudah menyatakan hasrat untuk bersara iaitu Idris Jusoh (Besut) dan Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas).
Sementara itu seorang penyandang - Khairy Jamaluddin - diberi kerusi baru, dari Rembau ke Sungai Buloh.
Tokoh lain yang tidak terpilih bertanding semula ialah Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Shahidan Kassim (Arau), Annuar Musa (Ketereh), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Ismail Abdul Muttalib ( Maran), Adham Baba (Tenggara) dan Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).
Seorang lagi tokoh berprofil tinggi yang tiada dalam senarai malam ini ialah bekas pengarah pilihan raya Umno Malaysia, Tajuddin Abdul Rahman
Senarai hampir lengkap calon BN itu dibacakan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur malam ini.
Ahmad Zahid tidak membacakan senarai calon BN untuk Sabah kerana gabungan itu akan mengumumkan sendiri tokoh yang terpilih bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kemudian.
Sementara itu enam kerusi tidak diumumkan Ahmad Zahid atas sebab yang tidak diketahui iaitu Tumpat, Kuala Nerus, Tanjong Karang, Kepong, Jempol dan Kuala Pilah.
Setakat ini juga, tidak dapat dipastikan sama ada BN sudah memuktamadkan calon untuk kerusi Bandar Tun Razak.
Walaupun calon untuk kerusi itu ada dalam senarai edaran kepada, Ahmad Zahid tidak membacakan nama calon terbabit semasa membuat pengumuman berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki diletakkan sebagai calon BN di Gerik. Ia merupakan kerusi yang agak selamat untuk BN di Perak.
Pada 2018, cubaan Asyraf Wajdi memenangi kerusi di Pasir Puteh, Kelantan gagal kerana dia tewas kepada calon PAS.
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin pula dipindahkan dari kawasan lamanya di Pasir Gudang ke Kota Tinggi yang agak selamat buat parti itu.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, pula dipertaruhkan di Alor Gajah, Melaka.
Ia adalah kerusi yang dilihat sangat berpotensi untuk BN selepas pilihan raya negeri diadakan di Melaka. Pada 2018, Shahril bertanding di Kuala Langat, Selangor namun kalah.
Aggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razali Ibrahim, akan dicalonkan di Pagoh, dan dia bakal berdepan dengan penyandang, Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini Razali kalah dalam pertembungan tiga penjuru di MUar.
Sementara itu bagi MIC, terdapat perubahan besar yang melibatkan ahli jawatankuasa kerja pusat parti itu, C Sivarraajh dan P Kamalanathan.
Sivarraajh yang bertanding di Cameron Highlands pada 2018 kini diletakkan di Padang Serai, Kedah. Ia adalah kerusi yang agak sukar untuk BN.
Bagi Kamalanathan pula, dia ‘dihantar’ bertanding di Port Dickson. Dalam PRU ke-14 MIC meletakkan dia di Selangor.
Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, akan ditempatkan di Raub, Pahang. Pada 2018, dia bertanding di kerusi Seremban namun kalah kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment