NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

10 perkara unik di dalam sidang DUN Kedah


PADA
waktu ini, DUN Kedah masih bersidang. Sidang kali ini dikenali sebagai Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 (Mesyuarat Bajet 2023). Sidang berlangsung bermula dari 30 Oktober 2022 sehingga 3 November 2022. 

Berdasarkan pemerhatian, terdapat 10 perkara yang unik di dalam persidangan kali ini:

1. Sidang DUN berlangsung dalam keadaan Parlimen telah dibubarkan. Biasanya, apabila Parlimen dibubarkan, DUN akan turut dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum. Biasanya, dalam tempoh ini para jentera parti sudah sibuk berkempen ke sana ke sini. Namun ianya berbeza bagi Negeri Kedah. Ahli-ahli politik khususnya yang terlibat dengan Sidang DUN perlu memberi fokus kepada persidangan dan perlu berkempen dalam masa yang sama. Ini mungkin adalah suasana kali pertama bagi Negeri Kedah. 

2. Ketua Pembangkang berucap sebagai seorang ADUN Bebas. Ketika hari pertama sidang, YB Alor Mengkudu selaku Ketua Pembangkang telah dipecat keahlian parti oleh PAN. Ini adalah kali pertama seorang Ketua Pembangkang berucap sebagai ADUN Bebas di dalam sidang. Mengikut amalan semasa, Ketua Pembangkang biasanya dilantik daripada kalangan pemimpin parti yang mempunyai majoriti kerusi dalam di blok pembangkang. Setakat ini, belum pernah ADUN Bebas dilantik sebagai Ketua Pembangkang. 

3. Terdapat dua Ketua Pembangkang dalam satu sidang yang sama. Setelah ADUN Alor Mengkudu dipecat keahlian partinya, para ADUN Pembangkang bersetuju melantik ADUN Gurun pula sebagai Ketua Pembangkang. Sidang kali ini tempohnya 5 hari. Hari pertama, ADUN Alor Mengkudu sebagai Ketua Pembangkang. Manakala hari berikutnya, ADUN Gurun pula dilantik sebagai Ketua Pembangkang. 

4. YB Dato’ Speaker dan YB ADUN Kupang tersasul menyebutkan nama Alor Mengkudu ketika merujuk kepada Ahli Yang Berhormat dari Pengkalan Kundor. Hal ini kerana isu pemecatan keahlian ADUN Alor Mengkudu daripada PAN sedang hangat diperkatakan sehari dua ini. Dalam masa yang sama, ADUN Pengkalan Kundor pula dilantik sebagai Pemangku Pengerusi PAN Negeri Kedah menggantikan tempat ADUN Alor Mengkudu. 

5. Perubahan tempat duduk ADUN. Terdapat perubahan ketara dalam susun atur tempat duduk para ADUN berikutan kelonggaran SOP akibat COVID-19. Para ADUN yang tiba di dewan pada hari pertama persidangan mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti tempat duduk masing-masing yang telah berubah. Selain itu, terdapat juga penambahan bilangan pemerhati daripada Ketua-ketua Jabatan. Sebelum ini bilangannya amat terhad kerana pelaksanaan SOP COVID-19. 

6. Kekurangan seorang anggota Exco Kerajaan Negeri bagi menjawab soalan dan menggulung perbahasan, setelah peletakan jawatan YB ADUN Sungai Tiang sebagai Exco. Jumlah anggota Exco atau nama rasminya Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) adalah 11 orang termasuk YAB MB. Jumlah ini tidak termasuk 3 orang ahli Ex-Officio iaitu YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Penasihat Undang-undang, dan YB Dato’ Pegawai Kewangan Negeri.

7. ADUN Sungai Tiang, YB Dato’ Suraya Binti Yaacob kali pertama berucap sebagai ADUN Kerajaan dalam penggal kali ini, bukan sebagai Exco seperti mana kebiasaan sebelum ini. Berdasarkan rekod, beliau telah berkhidmat sebagai ADUN selama 4 penggal dalam tempoh 20 tahun. Separuh daripada tempoh berkenaan adalah sebagai Exco Kerajaan Negeri berketuakan 5 orang Menteri Besar. Ucapan perbahasan beliau sebentar tadi merupakan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak atas khidmatnya selama ini. 

8. Sidang kali ini adalah sidang kali pertama untuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baharu iaitu YB Dato’ Norizan Khazali. Beliau dilantik sebagai SUK yang baharu pada 24 Ogos 2022 lalu, menggantikan Dato’ Paduka Ammar Syeikh Mahmood Naim yang telah bersara wajib. 

9. Isu ‘kecurian’ REE menarik minat beberapa orang Ahli Yang Berhormat. Terdapat 10 soalan yang sama ditanya di dalam Sesi Pertanyaan Mulut dan Pertanyaan Bertulis kali ini. Bahkan terdapat satu usul dari YB ADUN Gurun mengenai ‘kecurian’ REE. Namun usul ini telah ditolak oleh YB Dato’ Speaker kerana ia telah dimasukkan di dalam Sesi Pertanyaan Mulut seperti yang telah dijawab panjang lebar oleh YAB Menteri Besar pada hari kedua persidangan. Sebelum ini ada yang tidak percaya kewujudan REE sebagai bahan mineral baharu yang ditemui di Negeri Kedah. Ada yang mempertikai bahkan mempersenda kenyataan YAB Menteri Besar ketika awal penemuan REE dua tahun lalu. Kali ini, mereka terpaksa mengakui kewujudannya.

10. Agak melucukan dewan apabila seorang ADUN pembangkang menggunakan hampir sepenuh masa yang diperuntukkan, berbahas mengenai satu perkara iaitu mengenai Gunung Bintang yang terdapat di dalam kawasannya. Walaupun perbahasan ini sepatutnya menyentuh mengenai Bajet 2023, namun ADUN berkenaan tetap konsisten memperjuangkan supaya Gunung Bintang diberi pengiktirafan sebagai gunung tertinggi di Negeri Kedah, lebih tinggi daripada Gunung Jerai katanya. Adakah ianya benar? Wallahua’lam

Walaupun suasana di luar begitu hangat kerana bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 yang makin panas, namun ‘suhu’ di dalam persidangan DUN kali ini nampak ‘cool’ dan tenang sahaja. 

Begitulah keunikan Negeri Kedah. Politiknya kekal stabil, ekonominya meningkat naik, pembangunannya semakin pesat. Orangnya baik-baik walaupun nampak agak sedikit kasar cara berguraunya. Bak kata YAB Menteri Besar, ‘panaih takpa jangan koyak‘.

Inilah Negeri Kedah. Negeri tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti.

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN 
Dewan Undangan Negeri Kedah, Alor Setar
1 November 2022 – HARAKAHDAILY 1/11/2022



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo