NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wujud krisis UMNO-MCA: UMNO tuntut MCA serah kerusi DUN Titi Tinggi



PADANG BESAR:
UMNO Bahagian Padang Besar menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi yang menjadi kerusi tradisi MCA diserahkan kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainal Abidin, berkata meskipun lima DUN di Parlimen Padang Besar iaitu Beseri, Mata Ayer, Santan, Chuping dan Titi Tinggi dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRU14, calon MCA di DUN Titi Tinggi hanya menang majoriti tipis.

Beliau berkata, kemenangan tipis itu menunjukkan kemerosotan sokongan dalam kalangan pengundi Cina.

Pada PRU14, calon MCA, Teh Chai Aan menang dengan majoriti 142 undi di DUN Titi Tinggi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP, Teh Semg Chuan, calon PAS, Kamis Yub dan seorang calon Bebas, Yaacob Man.

"UMNO Bahagian Padang Besar mengusulkan beberapa perkara kepada perwakilan antaranya kita (UMNO) kekal lima DUN di Padang Besar ini.

"Selain itu, kita berbincang dengan UMNO Pusat supaya DUN MCA (Titi Tinggi) yang pada PRU lalu hanya menang majoriti tipis dan sedikit, kita minta diberikan kepada UMNO balik.

"Desakan ini dibuat kerana kita takut jika kita terus meletakkan calon MCA di DUN Titi Tinggi, kita akan kalah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Besar di Dewan Jerneh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Jaafar, Bukit Keteri, Chuping, di sini hari ini.

Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Besar di SMK Dato Jaafar, Chuping, hari ini. - NSTP/Aizat Sharif
Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Besar di SMK Dato Jaafar, Chuping, hari ini. - NSTP/Aizat Sharif

Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Besar di SMK Dato Jaafar, Chuping, hari ini. - NSTP/Aizat Sharif
Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Besar di SMK Dato Jaafar, Chuping, hari ini. - NSTP/Aizat Sharif

Untuk rekod kerusi DUN Titi Tinggi adalah kerusi tradisi MCA sejak 1974 yang mana sebelum persempadanan semula pada PRU keempat, kerusi berkenaan dikenali sebagai Kaki Bukit.

Katanya, pihaknya sudah memaklumkan kepada MCA Perlis berkenaan tuntutan itu.

"Malah, saya juga sudah maklum kepada Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan) kerana kita lihat kemenangan dengan hanya majoriti 142 undi maka ramai pengundi di kawasan itu yang protes dan tidak mahu MCA bertanding di kawasan itu.

"Jadi, biarlah pengundi Cina yang mengundi MCA ini meneruskan sokongan mereka dengan mengundi MCA di DUN Indera Kayangan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan sentimen yang wujud di situ adalah pengundi Melayu menolak calon MCA sebaliknya bersedia untuk memberi sokongan mereka sekiranya calon UMNO diletakkan di kawasan itu.

"Kalau boleh MCA mesti menang juga satu kerusi terutama di kawasan majoriti Cina seperti DUN Indera Kayangan dan kita tidak mahu setiap kali PRU, mereka terlalu mengharapkan UMNO.

"Kita lihat pengundi Cina di Titi Tinggi, mereka tidak menyokong calon UMNO malah kita lihat prestasi kita di saluran pengundi Cina pada PRU lalu, kita kalah termasuk di Parlimen Padang Besar dan Kaki Bukit membuktikan pengundi Cina tidak minat sokong BN," katanya.

Zahidi berkata, disebabkan itu jugalah lebih baik DUN Titi Tinggi itu diberikan kepada UMNO kerana pengundi di situ lebih bersedia menerima calon UMNO.

Terdahulu, Zahidi yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Besar merasmikan mesyuarat UMNO bahagian berkenaan yang dihadiri 800 perwakilan parti itu dari bahagian berkenaan.






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo