BEIJING – Bandar Wuhan yang menjadi lokasi asal virus Covid-19, dikenakan perintah berkurung buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun sejak pandemik bermula selepas jangkitan koronavirus dikesan, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Lebih 800,000 penduduk Wuhan diarah untuk kekal di rumah sehingga akhir minggu ini.
Pihak berkuasa China melaksanakan semula sekatan paling ketat dan ekstrem walaupun Wuhan hanya merekodkan sekitar 25 kes Covid-19 sehari.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 200 juta orang di 28 bandar di seluruh China berdepan perintah berkurung, ujian calitan Covid-19 besar-besaran dan penutupan sektor ekonomi.
Kelmarin China mencatatkan 1,000 kes Covid-19 untuk hari ketiga berturut-turut, angka yang dianggap kecil berbanding standard negara lain.
Pendekatan ‘sifar Covid’ Beijing sejak pandemik bermula menyaksikan China dibelenggu sekatan agresif selama hampir tiga tahun yang menyaksikan orang ramai menjalani kuarantin selama berbulan-bulan.
Negara-negara lain yang pada mulanya mengikuti langkah ketat China, kini melonggarkan atau memansuhkan sekatan satu demi satu dan belajar untuk hidup bersama Covid-19. Penyakit itu juga menyebabkan kesan jangkitan lebih ringan berbanding semasa awal pandemik.
Statistik daripada platform penyelidikan yang disokong Universiti Oxford, Our World in Data menunjukkan China mencatatkan 1,412 jangkitan pada 26 Oktober lalu, meningkat 51 peratus dalam seminggu.
Bagaimanapun, angka itu masih kecil jika dibandingkan dengan 1.4 bilion penduduk China.
Angka itu bersamaan cuma 0.76 kes bagi setiap sejuta penduduk.
“Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan. Jika kami masih boleh bertahan hidup seperti ini, maka saya rasa itulah yang akan kami lakukan.
“Apabila kami melihat berita tentang Covid-19, ia seperti tidak memberi apa-apa kesan kerana kami sudah penat hidup di bawah perintah berkurung yang tiada berkesudahan,” kata seorang penduduk Wuhan. – Agensi
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment