TEMERLOH: Penyandang kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack membidas kenyataan DAP bahawa beliau ditawarkan bertanding di Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, jelas Wong menerusi satu kenyataan media, beliau dimaklumkan, Jawatankuasa DAP Negeri Pahang memutuskan untuk menolaknya sebagai calon di Pahang.
"Pimpinan DAP membuat kenyataan saya tidak digugurkan, sebaliknya ditawarkan untuk bertanding di Cameron Highlands. Ini tidak tepat sama sekali.
"Pada 16 Oktober, saya mendapat makluman bahawa Jawatankuasa DAP Negeri Pahang memutuskan untuk menolak saya daripada menjadi calon di Bentong.
"Saya juga tidak akan bertanding di mana-mana kerusi dalam Pahang. Saya akan hilang sepenuhnya dari Pahang," jelasnya.
Tambah Wong, perkara itu mengundang reaksi kurang senang terutama dalam kalangan ahli parti di Bentong.
"Mereka merasakan keputusan parti sangat tidak logik. Pasukan ini telah bekerja keras selama bertahun-tahun untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Bentong adalah kawasan pilihan raya yang besar. Ia bersaiz dua setengah lebih besar daripada Singapura. Terdapat empat Dewan Undangan Negeri (DUN) - Ketari, Bilut, Pelangai dan Sabai," katanya lagi.
Tegas Wong yang juga bakal bertanding di Parlimen itu atas tiket Bebas, jentera DAP Bentong telah bekerja keras membantu rakyat di kawasan itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Bagaimanapun DAP jelasnya menawarkan kerusi Cameron Highlands selepas beliau membuat pendirian kekal di Bentong, namun tetap ditolaknya.
"Saya memberitahu mereka bahawa saya akan menyampaikan apa yang dibincangkan dalam pertemuan dengan ahli akar umbi Bentong dan menghubungi mereka semula dalam masa 24 jam.
"Saya tidak turut serta dalam mana-mana puak atau kumpulan dalam parti. Saya tidak berminat dan tidak pernah bermain politik parti.
"Politik mestilah mengenai rakyat. Ia tidak sepatutnya menjadi permainan retorik, manipulasi atau strategi kosong semata-mata untuk memenangi pilihan raya.
"Sudah tiba masanya untuk menanam batu asas untuk membina platform kuasa rakyat sebenar dalam politik, dan saya harap ia bermula dari Bentong," katanya lagi.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment