KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) mengumumkan secara rasmi calon pertama parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Sipitang.
Calon terbabit yang juga seorang peguam, Adnan Puteh dijangka berdepan saingan sekurang-kurangnya tiga penjuru iaitu dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Kerusi Parlimen Sipitang yang terletak di selatan Sabah dan bersempadan dengan Lawas, Sarawak itu sebelum ini disandang Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Yamani Hafez Musa dari GRS - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Adnan yang juga Bendahari WARISAN Bahagian Sipitang diyakini mampu membawa cabaran parti itu untuk memenangi kerusi Parlimen Sipitang.
"Saya beritahu Adnan, saya perlukan suara lantang seorang peguam memperjuangkan hak kita di Parlimen," katanya ketika mengumumkan pencalonan Adnan pada program jelajah WARISAN di Sipitang, semalam.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Yamani yang juga anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman memenangi kerusi Parlimen Sipitang atas tiket BN dengan majoriti 852 selepas memperoleh 12,038 undi.
Yamani yang kini menyertai BERSATU menewaskan calon WARISAN Noor Hayaty Mustapha yang memperoleh 11,186 undi, manakala seorang lagi calon daripada Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Dayang Aezzy Liman hanya meraih 1,547 undi.
Sebelum ini, Mohd Shafie mengumumkan WARISAN akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan satu di Labuan.
Mohd Shafie yang juga penyandang kerusi Parlimen Semporna turut dijangka sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan yang menjadi kubu kuatnya sejak beberapa penggal.
WARISAN tidak bergabung dengan mana-mana parti atau gabungan politik, namun meletakkan dirinya sebagai 'kingmaker' yang bakal menentukan parti yang akan memerintah di peringkat persekutuan selepas PRU-15.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment