Pada zaman sekarang, masyarakat semakin sedar akan kepentingan mengambil perlindungan insurans kesihatan.
Hal ini kerana ramai yang telah menyedari bahawa kos perubatan semakin hari semakin tinggi menyebabkan mereka memerlukan perlindungan jangka masa panjang.
Bagaimanapun, masih ada segelintir yang tidak cakna dengan tawaran perlindungan yang diambil, menyebabkan mereka tidak menyedari bahawa ada sesetengah penyakit yang tidak dilindungi oleh insurans.
Wanita larikan diri dari hospital selepas tahu insurans tak cover sakit yang dialami
Semalam (24 Oktober), seorang pesakit wanita bertindak melarikan diri tanpa membuat pembayaran dari wad sebuah hospital swasta di Sungai Petani selepas mengetahui insurans diambilnya tidak melindungi penyakit yang dihidapinya itu.
Menurut laporan Berita Harian, jururawat hospital berkenaan yang menyedari tentang kejadian itu telah membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pesakit yang berusia 32 tahun itu mendaftar untuk mendapatkan rawatan di hospital terbabit pada jam 6.40 petang Ahad lalu sebelum dimasukkan ke wad.
“Bagaimanapun, pada 9.30 malam pihak hospital memaklumkan kepada wanita itu yang insuransnya tidak boleh digunakan sebelum dia memberitahu enggan meneruskan rawatan dan mahu keluar wad.
“Jururawat kemudian memberitahu doktor bertugas sebelum proses keluar wad dilakukan terhadap pesakit terbabit yang turut diminta menjelaskan bayaran dan mengambil ubat di farmasi,” katanya.
Pesakit tidak membuat sebarang pembayaran dan daftar keluar dari hospital
Menurutnya, pada 10.40 malam wanita itu didapati tiada dalam wad serta tidak membuat sebarang pembayaran dan juga daftar keluar dari hospital.
Ujar Zaidy, jururawat yang bertugas bertindak membuat laporan polis selepas pesakit berkenaan gagal dihubungi oleh pihak hospital.
“Susulan itu, polis menghubungi pesakit terbabit namun tidak dijawab dan cuba mencarinya di rumah bagaimanapun wanita berkenaan tiada selain pintu berkunci,” katanya lagi.
Wanita berkenaan ke hospital kerana mengalami masalah sakit perut
Tambahnya, berdasarkan siasatan awal, wanita berkenaan ke hospital swasta itu kerana mengalami sakit perut dan memaklumkan bahawa dia mempunyai insurans ketika mendaftar masuk ke wad.
“Pemeriksaan mendapati pesakit mengalami gastrik namun syarikat insurans yang diambilnya mendakwa mereka tidak melindungi penyakit dihidapi wanita itu membuatkan dia keluar wad. Kita masih menjalankan siasatan lanjut serta sedang mengesan pesakit berkenaan.”
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment