NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Undi18 beri nafas baharu pada PRU15


SELAMAT datang pengundi-pengundi baharu yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus ‘mewarnai’ sistem demokrasi negara.

Berkuat kuasa 15 Disember lalu, Undi18 telah diwartakan. Mereka yang berumur 18 tahun telah didaftarkan secara automatik sebagai daftar pemilih.

Berdasarkan data, seramai 1.14 juta orang yang tergolong pengundi berusia 18 hingga 21 tahun akan mengundi pada PRU15.

Sejauh mana Undi18 bakal mempengaruhi kejayaan atau kegagalan sesebuah parti politik untuk menakluki Putrajaya?

Pada 12 Mac lalu, seramai 173,177 golongan berusia 18 hingga 21 tahun berpeluang merasai sendiri pengalaman proses mengundi menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mereka mewakili 6.67 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,597,742 pengundi. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 54.92 peratus keseluruhan yang keluar mengundi.

Daripada jumlah tersebut, dianggarkan pengundi berusia 18 hingga 21 tahun yang turun mengundi adalah di bawah lima peratus atau 8,658 orang daripada jumlah pengundi muda yang didaftarkan di negeri itu.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Peratusan yang rendah mungkin disebabkan kesedaran Undi18 masih rendah apabila tidak ramai menyedari mereka telah didaftar secara automatik.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian berkaitan Undi18 baru-baru ini mendapati kebanyakan pengundi kategori tersebut menafikan dakwaan itu.

Mereka mengetahui telah didaftarkan secara automatik, cuma kurang memahami proses pemilihan. Ada antara mereka secara jujur mengakui belum bersedia untuk mengundi kerana tidak berminat dengan politik.

Di sinilah pentingnya ilmu pendidikan mengundi diperjelaskan bagi menarik lebih ramai pengundi muda untuk turut serta dalam sistem demokrasi negara.

Walaupun pada peringkat awal, ada pihak menimbulkan ke-bimbangan mengenai isu ke-matangan politik kumpulan berkenaan, namun perkara itu bukan lagi keutamaan selepas Undi18 diwartakan.

Kini, pendidikan pengundi yang perlu dipergiatkan dan usaha tersebut tidak boleh bergantung kepada Akademi Pilihan Raya (APR) oleh SPR semata-mata.

Setiap parti politik juga perlu bijak merangka strategi bagi menarik pengundi baharu untuk menunaikan tanggungjawab.

Cara menarik undi muda tidak boleh lagi menggunakan kaedah lama dengan berkempen dari rumah ke rumah, sebaliknya langkah pantas mendekati kumpulan berkenaan adalah menerusi media sosial.

Meraih undi anak muda biarlah secara ‘gentleman’ dan berfakta, tidak perlu racun minda mereka dengan politik kebencian. Anak muda masih perlu diberikan bimbingan dan tunjuk ajar bagi memilih calon pemimpin yang berkelayakan.

Gunakan manifesto sebagai senjata menarik sokongan mereka. Sebaiknya teruskan usaha memperjuangkan pendidikan percuma kerana ia adalah aspek penting bagi melahirkan generasi berilmu dan berwawasan.

Negara memerlukan ramai tenaga pakar dan berkemahiran untuk bersaing dengan perkembangan teknologi. Namun, segelintir anak muda kini dilihat kurang menitikberatkan pendidikan. Mereka enggan dibebani pinjaman pendidikan.

Tiada jaminan pekerjaan, selain gaji rendah mempengaruhi minda mereka menyebabkan ramai berpandangan belajar tinggi bukan lagi keutamaan.

Justeru, PRU15 adalah medium mendekati anak-anak muda dan menyelami masalah yang membelenggu kumpulan berkenaan.

Letakkan sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus Undi18 turun mengundi agar mereka merasai sistem demokrasi negara dan menjadikan mereka celik dalam dunia politik.

Golongan berusia 18 tahun dan ke atas sebenarnya boleh dianggap matang. Mereka sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Apa pun, ukuran kematangan bukanlah dari segi umur semata-mata. Ada juga orang dewasa walaupun sudah berusia 30 tahun ke atas, masih lagi mudah untuk dipengaruhi dan dimanipulasi.

Jadi kepada anak-anak muda, gunakan peluang ini untuk menyuarakan kehendak, keinginan dan harapan masing-masing agar calon yang dipilih nanti mampu merealisasikannya.

Norafiza Jaafar
wartawan Sinar Harian







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo