NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Umat Islam perlu jadi contoh aspek integriti, jati diri


KUALA LUMPUR:
Umat Islam perlu berusaha terlebih dahulu menjadi umat terbaik yang sentiasa menterjemahkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian, kata Senator Datuk Idris Ahmad.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu lagi, umat Islam perlu menjadi contoh daripada segenap aspek integriti, sahsiah serta jati diri yang berkualiti.

Tambahnya, dalam pada masa yang sama, negara yang sejahtera adalah terbina dengan roh taqwa dan iman, berkasih sayang, saling hormat menghormati, tolong menolong serta bersatu padu.

“Inilah prinsip asas masyarakat sejahtera yang menaungi masyarakat Madinah Al-Munawwarah di bawah kepimpinan Baginda Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-62 Tahun 1444H/2022 di Dewan Plenari, Kuala Lumpur Convention Centre di sini, malam ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pada majlis itu dan berkenan mengurniakan hadiah tempat pertama hingga kelima bagi kategori qari dan qariah.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Meteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusof.

Menurut Idris lagi, kemajmukan masyarakat adalah keunikan yang perlu diurus dengan penuh hikmah dan bijaksana berpandukan pendekatan fiqh al-ta’ayush.

“Ia membawa kepada kerukunan, kedamaian dan keharmonian yang mampu menjadi tunjang kepada generasi umat Islam yang kalis cabaran masa depan,” ujarnya.

Beliau berkata, Al-Quran adalah mukjizat sepanjang zaman yang mana 114 surah Al-Quran menjadi kompas kehidupan.

Menurutnya, ketika insan berdukacita menerima ujian, Al-Quran membisik kekuatan dan keyakinan.

Tambahnya, apabila manusia berikhtiar mencari jalan keluar pada setiap masalah yang dihadapi, Al-Quran mengetuk pintu hati, membawa berita gembira buat diri:

Katanya lagi, apabila manusia mengecap nikmat kebahagiaan, Al-Quran membawa pesan agar tidak melupakan Maha Ar-Rahman:

“Inilah rahmat buat umat Nabi Muhammad SAW. Al-Quran membawa pedoman, dari sekecil-kecil urusan sehinggalah sebesar-besar kehidupan, menyelamatkan insan daripada terus terkial-kial dalam zon kegelapan,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan kesyukuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa sudah memasuki edisi kali ke-62, sejak penganjuran pertamanya pada tanggal 9 Mac 1961 bersamaan 22 Ramadhan 1380.

“Negara Malaysia ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh 36 orang peserta dari 28 buah negara yang telah berjaya menyertai majlis kali ini.

Sesungguhnya, kata beliau kegigihan para peserta mempersembahkan alunan bacaan masing-masing telah mengisi malam-malam indah kita dengan tilawah, tadabbur dan tazakkur.

“Al-Quran kalam wahyu, makin dibaca, makin memikat. Makin dikaji, makin mengenali hakikat diri. Makin ditelurusi, makin menghidupkan hati. Semakin hari, makin bertambah rindu kepada wahyu Ilahi,” katanya.

Sementara itu, peserta negara, Sofizah Mousin Majlis Tilawah muncul johan bagi kategori wanita sementara qari, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan sebagai naib johan. Johan dimenangi peserta Bahrain, Mohamed Sameer Mohamed Magahed. – HARAKAHDAILY 24/10/2022



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo