NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ULASAN | Andainya Zahid 'mungkir janji'


ULASAN | Dengan sepoi-sepoi bahasa, bertiuplah khabar dibawa angin untuk memberi berita tentang kemungkinan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.

Tidak dapat dipastikan dari mana angin membawa cerita itu bertiup. Entah dari utara, selatan, timur atau barat. Atau, dari Bagan Datuk sendiri.

Namun hembusan angin itu dengan pantas termatikan apabila bekas timbalan perdana menteri itu menegaskan, setakat ini belum terlintas di fikirannya untuk hanya terlibat dalam kerja-kerja PRU tanpa menjadi calon.

Malah penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa khabar yang mengaitkan dia dengan langkah tidak menyertai PRU itu cuma spekulasi semata-mata.

Baiklah, sudah pasti amat janggal dalam amalan politik di Malaysia sekiranya seorang tokoh yang mengepalai parti tiba-tiba tidak bertanding dalam menentukan letak duduk partinya kelak.

Presiden bukan sahaja panglima perang, bahkan menjadi perisai untuk memayungi pasukan dan bala tenteranya. Adalah tidak adil jika anak-anak buah berperang bermati-matian, sebaliknya sang panglima hanya menjadi 'tukang sorak' dari luar gelanggang.

Tak mahu berkongsi lagi

Bagaimanapun dalam politik, disepakati bahawa segalanya tidak mustahil boleh berlaku. Lalu apa akan jadi sekiranya Ahmad Zahid mungkir janji?

Ada apa kalau tiba-tiba Ahmad Zahid memang benar-benar memilih untuk tidak bertanding kali ini?

Lihat tanda tanya itu, masih ada ruang yang boleh diperbahaskan dalam seni dan strategi politik yang untung-ruginya hanya ditentukan di tangan rakyat.

Dalam PRU ke-15 ini, BN dilihat meletakkan harapan setinggi langit untuk kembali menguasai pentadbiran negara dengan mandat besar rakyat.

Ternyata kekalahan buat kali pertama pada 2018 itu meninggalkan kesan yang maha perit buat mereka. Hilang pengaruh dan kuasa secara tiba-tiba itu adalah ibarat terhempas dari kapal terbang tanpa payung terjun.

Namun BN nampaknya kini yakin mereka boleh kembali memasuki Putrajaya tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa lagi.

Kerana keyakinan dan iltizam itulah Ismail Sabri Yaakob akhirnya membubarkan Parlimen walaupun langkah itu ditentang parti yang sebumbung dengannya di Putrajaya - Bersatu dan PAS.

Persoalannya ialah, keyakinan BN yang mereka benar-benar sedang kuat dan mampu meraih kejayaan besar dalam PRU ke-15 ini sukar dibuktikan sama sekali.

Hal itu kerana negara sedang mengalami dua masalah besar yang saling berkait - ketidakstabilan politik dan tekanan ekonomi.

Seorang pemerhati politik Umno, Wan Mohd Mahyiddin, dalam bukunya Panduan Politik: Untuk Keutuhan Parti dan Kesejahteraan Rakyat pada 1974 menegaskan, kewujudan seseorang pemimpin memang untuk menghadapi masalah.

Bukti berjiwa besar

Antara lain, menurutnya, agar negara sejahtera seseorang pemimpin mestiah menyelesaikan dua masalah iaitu masalah politik dan ekonomi.

"Dapatkah atau tidak masyarakat dan negara mengatasi masalah-masalah adalah satu faktor pimpinan.

"Walaupun masalah banyak, rakyat mundur dan tidak tahu bergerak bagi kejayaan hidup sendiri boleh diatasi atau diperbaiki jika dalam pimpinan ada cukup ramai problem-solvers dan tokoh-tokoh yang action-oriented," katanya.

Justeru penulis cuba meninjau bagaimana Ahmad Zahid dan barisan kepimpinannya mampu mengatasi masalah yang sedang dihadapi dan bakal negara ketika mereka sendiri bergelut dengan masalah.

Selaku orang nombor wahid dalam Umno dan BN, reputasi Ahmad Zahid pastinya terjejas - kalau tidak banyak, sedikit - di mata rakyat susulan kes salah guna kuasa yang belum selesai di mahkamah.

Penyertaannya dalam PRU kali ini sudah tentu mewujudkan pro dan kontra dalam usaha partinya menyakinkan rakyat supaya mengundi mereka, sekali gus kembali menjadi kerajaan.

Jadi apa yang berlaku sekiranya Ahmad Zahid mungkir janji dan memilih untuk tidak menandatangani watikah buat dirinya sendiri menjelang 5 Nov ini?

Tanda tanya itu boleh menghantar jawapan tuntas bahawa Ahmad Zahid benar-benar berjiwa besar dan rela berkorban demi Umno agar keyakinan hakiki rakyat terhadap parti itu tercapai.

Sekiranya Ahmad Zahid tidak menyertai PRU kali ini, tanpa perlu dipaksa-paksa, susuk anak Bagan Datuk itu akan dilihat sebagai pahlawan sejati.

Adalah tidak mustahil - malah luar biasa - jika Ahmad Zahid benar-benar berundur dengan konotasi dia mahu memberi fokus terhadap kesnya di mahkamah.

Tindakan itu juga memberi gambaran betapa dia benar-benar akan melunaskan janji bahawa Ismail Sabri adalah calon perdana menteri BN, dan secara tidak langsung menghapuskan kecurigaan kes "barang order" akan berbeza daripada "barang yang sampai" seperti pernah berlaku di Johor.

Malah jika Ahmad Zahid mungkir janji atau 'berbohong' dengan tidak menjadi calon, sudah tentu ia juga akan memberi kesan kepada hubungan Umno-PAS.

Bukankah PAS itu sudah berkali-kali mengungkit akan kisah 'keruh' dalam Umno?

Lebih daripada itu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dan pengikutnya pasti mampu memberikan dalil akan keharusan memungkiri janji atau berbohong dalam agama.

Sebelum ini duta khas bertaraf menteri itu pernah menghalalkan pembohongan "demi menjaga kemaslahatan".

Justeru dalam tempoh berbaki kira-kira dua minggu lagi sebelum penamaan calon nanti, sama-sama kita nantikan dan lihat: apakah langkah akan diambil Ahmad Zahid.

Dan bagaimana pengundi akan memberikan natijah melalui peti undi nanti.

N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.


Sumber I Malaysiakini 



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo