NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tindakan PH diam diri mengenai laporan memoir Thomas merugikan, kata penganalisis


PETALING JAYA:
Keengganan Pakatan Harapan (PH) mengulas mengenai laporan pasukan petugas khas hasil siasatan terhadap memoir bekas peguam negara Tommy Thomas ialah suatu kesilapan yang akan sangat merugikan mereka, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, dengan berdiam diri mengenai penemuan panel itu, PH akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum (PRU) pada 19 Nov nanti.

“Jika PH terus berdiam diri, Umno akan menggunakan ini (sebagai senjata) ketika berkempen, untuk menunjukkan bahawa PH melantik Thomas untuk sebab-sebab politik dan telah menggunakan pejabat peguam negara untuk meneruskan agenda sendiri.

Ini akan merugikan PH, terutamanya dari segi integriti, kata Azmi, kerana ia akan menjejaskan imej gabungan itu di mata pengundi.

Thomas, yang menjadi peguam negara ketika PH memerintah pada 2018, menerbitkan memoir pada Januari 2021.

Susulan itu, sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman dan lain-lain dalam buku itu.

Selaras dengan saranan panel itu, siasatan polis kemudian dimulakan berhubung hasutan dan kesalahan lain.

“Kesimpulannya, tanggungjawab terletak pada kerajaan pada masa itu, iaitu PH,” kata Azmi kepada FMT.

Thomas dilantik sebagai peguam negara oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad dan meletak jawatan selepas gabungan itu tumbang pada Februari 2020.

Mahathir dilaporkan berkata, beliau melantik Thomas kerana beliau dikenali sebagai seorang yang “tidak berat sebelah” dan patuh kepada “kedaulatan undang-undang”, namun itu sebelum memoirnya diterbitkan.

Pada Rabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menolak gesaan agar PH mengulas laporan pasukan petugas itu dengan berkata, terpulang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sama ada Thomas benar-benar melanggar undang-undang.

Beberapa pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mempersoalkan sikap berdiam diri pemimpin PH mengenai penemuan laporan itu, termasuk dakwaan berhubung pelantikan kehakiman, pendedahan rahsia kerajaan, salah guna kuasa, kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

Sementara itu, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM) berkata, sikap berdiam diri PH mungkin mencadangkan ia tidak dapat menangkis dakwaan yang terkandung dalam laporan pasukan petugas itu.

“Ini akan menjejaskan imej PH tetapi memperbaik (imej) BN, yang kemudiannya boleh berkata, pemimpin mereka menghadapi pendakwaan terpilih,” katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo