BAGAN DATUK: “Tidak ada isu antara kami.”
Itu yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap hubungannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Naib Presiden UMNO itu, adu domba yang dilemparkan sesetengah pihak kononnya terdapat masalah antara mereka berdua semata-mata mahu memecahbelahkan UMNO.
Tegas Ismail Sabri, beliau dan Ahmad Zahid saling mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah sekitar tahun 1970-an dan mula bersahabat sejak itu lagi.
“Bak kata pepatah melayu ‘antan sama antan berlaga, ayam di tepi lesung yang kekenyangan’. Kita berlaga mereka yang untung, jadi sekarang kita kena bersatu, biar mereka yang rugi pula, itu yang paling penting.
“Saya kenal presiden (Ahmad Zahid) daripada saya sekolah lagi. Bukan setakat Presiden (sahaja, bahkan) isteri beliau… sejak mereka masih bercinta lagi saya sudah kenal.
“Jadi saya nak beritahu kepada mereka yang cuba nak memecahbelahkan ini, jangan cuba-cubalah. Tidak ada perkara yang boleh memecah-belahkan hubungan antara saya dengan Datuk Seri Zahid,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, pada Isnin.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut senada dengan kenyataan Ismail Sabri yang mengatakan mengenali sosok tubuh penyandang kerusi Parlimen Bera itu sejak muda.
Menggambarkan keakraban itu, Ahmad Zahid berkata, semasa menuntut di Universiti Malaya sekitar tahun 1970an, beliau duduk sebilik dengan abang kandung Ismail Sabri, Kamarazaman Yaakob.
“Sudah berpuluh tahun kenal dia (Ismail Sabri). Jadi janganlah siapa-siapa nak masuk campur, nak pecah belahkan kami berdua. Itu buang masa sahaja,” tegas Ahmad Zahid lagi.
Justeru Ahmad Zahid meminta agar semua pihak dapat mengenepikan perbezaan dalaman sebaliknya mengukuhkan kekuatan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sumber I Astro Awani
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment