NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Thomas mahu Dr M ikut arahannya dalam pelantikan hakim, menurut laporan


PETALING JAYA:
Tommy Thomas semasa menjadi peguam negara mahu Dr Mahathir Mahathir “menurut arahannya dengan cara bertentangan undang-undang” dalam melantik tiga peguam sebagai hakim Mahkamah Rayuan, menurut laporan kerajaan.

Pasukan petugas khas yang menyiasat memoir Thomas dalam laporannya berkata, beliau mempunyai “kepentingan yang kuat” dalam pelantikan hakim.

Penemuan pasukan itu didedahkan kepada umum oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Pasukan petugas itu berkata, Thomas menulis bahawa hakim Mahkamah Rayuan lemah dalam undang-undang komersial, dan kepakaran sedemikian hanya boleh didapati dalam kalangan mereka yang aktif mengamalkan undang-undang.

Thomas berkata, beliau mencadangkan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat supaya tiga peguam swasta “yang mempunyai latar belakang komersial kukuh” dilantik terus ke Mahkamah Rayuan.

Tengku Maimun yang pada mulanya menyokong, kemudian berkata Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mahu hakim di mahkamah atasan berkhidmat sebagai pesuruhjaya kehakiman terlebih dahulu dan kemudiannya hakim Mahkamah Tinggi.

“Satu-satunya penyelesaian adalah untuk saya mendapatkan persetujuan perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad) untuk membuat tiga pelantikan itu,” tulis Thomas dalam bukunya.

Pasukan petugas itu berkata, perbincangan Thomas dengan ketua hakim negara berhubung pelantikan “terus ke Mahkamah Rayuan” membuktikan peguam negara ketika itu “mempunyai kepentingan kuat” dalam pelantikan hakim.

Menurutnya, Thomas menggunakan “tekanan partisan” ke atas Tengku Maimun dalam cubaan untuk mempengaruhi pelantikan hakim Mahkamah Rayuan.

“Adalah jelas…Thomas mengambil kepentingan peribadi dalam pelantikan hakim, termasuk mengemukakan tiga nama anggota Majlis Peguam untuk pelantikan terus ke Mahkamah Rayuan,” menurut laporan itu.

Sebagai peguam negara ketika itu, Thomas “tidak sepatutnya berbincang dan/atau terlibat dalam apa-apa perkara berhubung pelantikan hakim sama sekali”, kata pasukan petugas itu kerana pelantikan itu pada dasarnya adalah fungsi berkanun JAC.

“Ketua hakim berhak, selepas berunding dengan JAC, memutuskan untuk tidak melayan cadangan Thomas,” kata pasukan petugas itu.

Pasukan petugas itu menambah, tindakan Thomas mendekati Mahathir adalah “percubaan untuk menggunakan pengaruh politik atau eksekutif” bagi membolehkan cadangan pelantikan itu dilaksanakan.

Katanya, peguam negara ketika itu gagal dalam tugasnya untuk menasihati perdana menteri bahawa beliau tidak mempunyai kuasa memilih calon bagi pelantikan dalam badan kehakiman.

“Sebaliknya, beliau mahu perdana menteri menuruti arahannya dengan cara bertentangan undang-undang berkaitan pemilihan dan pelantikan hakim.”

Menurutnya, Majlis Peguam enggan memberi maklum balas sama ia telah menulis kepada Tengku Maimun berhubung dakwaan kelemahan di Mahkamah Rayuan. Tiada rundingan juga antara Thomas dengan Majlis Peguam mengenai perkara itu.

Buku Thomas bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” diterbitkan Januari 2021.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo