NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Terima kasih la...'


SERDANG:
Sejak Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan mahu bertanding di Parlimen Rembau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kedudukan penyandangnya, Khairy Jamaluddin mula menjadi persoalan.

Ia berikutan Menteri Kesihatan itu mengakui tidak tahu kerusi mana yang akan ditandinginya dalam PRU15, selain mengakui wujud senario terburuk iaitu beliau mungkin langsung tidak bertanding.

Beliau yang menjadi Ahli Parlimen Rembau sejak tiga penggal lalu juga beberapa kali mengakui bimbang dengan kedudukannya menjelang PRU15, namun akan akur pada apa jua keputusan pucuk pimpinan UMNO, termasuk jika tidak dicalonkan.

Namun, kebimbangan Khairy terjawab semalam apabila Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, memberi jaminan akan mencari tempat sesuai untuk Khairy bertanding dalam PRU-15 dan tidak akan membiarkan Menteri Kesihatan itu 'hilang' begitu sahaja kerana beliau 'pemimpin muda berkaliber dan baik untuk negara'.

Ketika ditanya mengenai jaminan berkenaan serta sama ada ia merungkai kebimbangannya, Khairy secara ringkas mengucapkan terima kasih kepada Mohamad, yang juga ketuanya di UMNO Bahagian Rembau.

"Terima kasih la," katanya sambil tersenyum tanpa mengulas lanjut, dan enggan menjawab soalan lain daripada wartawan berhubung isu sama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pusat Kardiologi Hospital Serdang di sini, hari ini.

Semalam, Mohamad ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Rembau berkata, kesediaan Khairy memberi laluan kepadanya untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada PRU15, sebagai keputusan kekeluargaan.

Ketua UMNO Bahagian Rembau itu bersyukur atas keikhlasan timbalannya yang secara terbuka menyatakan kesediaan berkenaan dan sebagai balasan, pucuk pimpinan parti akan mengenal pasti kerusi yang sesuai buat Menteri Kesihatan itu.

Khairy ketika menyampaikan ucapan penggulungan persidangan berkenaan, menyatakan kesediaannya untuk memberi laluan kepada Mohamad bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15.

Pada 3 September lalu, media melaporkan Mohamad mengumumkan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen pada PRU15 dan pada masa sama, akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, namun tidak mendedahkan kerusi Parlimen yang mahu ditandinginya.

Hari berikutnya, Khairy mengesahkan tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15 selepas diarah mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Mohamad yang mahu bertanding di kerusi berkenaan.

Ketika itu, Khairy mengakui tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik di Rembau, namun terpaksa akur pada arahan Mohamad.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo