KUALA SELANGOR: "Saya berjanji akan cuba sebaik mungkin membantu UMNO kembali menjadi kerajaan yang stabil untuk Selangor dan negara ini."
Itu janji Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Kuala Selangor di Dewan Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor, di sini, hari ini,
Beliau, yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor percaya, semangat perjuangan parti itu untuk membela rakyat dan melihat hanya UMNO serta komponen Barisan Nasional (BN) mampu mencipta kestabilan, baik dari segi politik mahu pun ekonomi untuk kepentingan rakyat.
"Bagi ahli politik, mungkin ada 'thrill' apabila banyak perubahan berlaku dalam politik. Tetapi bagi rakyat di luar sana, mereka hanya mahukan kerajaan yang stabil dan fokus dasar untuk rakyat, bukan politik untuk diri sendiri," katanya.
Tengku Zafrul berkata, pilihan raya kali ini dilihat berbeza, ekoran pelbagai faktor seperti pengundi baharu dan muda yang cukup ramai berbanding sebelum ini.
Faktor lain, katanya, adalah pilihan politik yang terlalu pelbagai berbanding BN lawan Pakatan Harapan (PH) seperti sebelum ini, selain ekonomi dunia yang tidak stabil memberi impak kepada ekonomi rakyat, sekali gus memberi impak kepada pilihan undi mereka.
"Berbeza tidak bermakna lebih sukar atau lebih mudah. Berbeza bermakna pendekatan kita juga perlu seiring dengan faktor ini.
"Cara tradisional yang berkesan, kita teruskan. Tetapi, jika ada cara baharu yang bersesuaian kita guna pakai," katanya.
Beliau berkata, antara cara penting untuk menarik sokongan pengundi baharu adalah penggunaan 'big data' (data besar), kempen media sosial dan inti pati manifesto.
"Walaupun ada pertarungan tiga atau empat penjuru, jika dilihat dari sudut positif kebarangkalian untuk UMNO, mungkin menang secara mutlak di peringkat Persekutuan.
"Kebarangkalian itu juga bermakna, jika tepat strateginya, jika tepat ramuannya, jika kuat usahanya, tidak mustahil kerusi kita yang kini di pihak pembangkang dalam DUN Selangor, mungkin beralih ke pihak kerajaan dalam PRU akan datang," katanya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment