NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tekanan harga makanan, inflasi dijangka kekal tinggi


Kadar inflasi negara pada tahun ini dijangka meningkat antara 3.3 hingga 3.5 peratus berbanding 2.5 peratus tahun lalu, demikian mengikut Affin Hwang Investment Bank.

Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini, pihaknya percaya tekanan inflasi negara akan terus meningkat berikutan tekanan harga makanan yang tinggi dalam jangka masa terdekat, namun begitu kadar peningkatannya mungkin lebih rendah.

Katanya, dari segi pengeluaran, harga pengeluar indeks (PPI), ukuran inflasi di peringkat pengeluar/pengilang, bertambah baik kepada kadar pertumbuhan 6.8 peratus tahun ke tahun (yoy) pada Ogos daripada 7.6 peratus pada Julai.

"PPI telah merekodkan arah aliran menurun untuk bulan ketiga berturut-turut bagi asas bulan ke bulan, menunjukkan kemungkinan kelegaan kepada tekanan inflasi daripada pengeluar kepada pengguna.

"Kami menjangkakan inflasi utama negara pada purata antara 3.3 peratus kepada 3.5 peratus tahun ini (2.5 peratus pada 2021), berbanding unjuran rasmi di antara 2.2-3.2 peratus," katanya.

Tambah bank pelaburan itu, dari segi dasar monetari, pihaknya percaya sebarang kenaikan kadar dasar pada masa hadapan akan dilakukan secara terkawal dan berperingkat.

"Dengan panduan awal daripada kenyataan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengenai dasar monetari yang akomodatif, selepas menaikkan kadar sebanyak 75 mata asas daripada 1.75 peratus kepada 2.5 peratus dalam tiga mesyuarat sebelum ini, kami percaya BNM akan mengekalkan OPRnya pada 2.5 peratus dalam mesyuarat MPC pada 3 November ini.

"Bagaimanapun, kami melihat kemungkinan dua lagi kenaikan kadar 25 mata asas kepada 3.0 peratus dalam dua mesyuarat pertama MPC pada 2023, sejajar dengan peningkatan dalam aktiviti ekonomi domestik walaupun risiko kemelesetan global meningkat," katanya.

Sementara itu penganalisis TA Securities, Shazma Juliana Abu Bakar dan Farid Burhanuddin dalam nota penyelidikan mereka berkata, ringgit Malaysia yang semakin lemah dan harga komoditi global yang tinggi mempunyai kesan kepada tekanan inflasi Malaysia melalui inflasi import makanan yang lebih tinggi.

"Kami percaya ketika kita melangkah ke suku keempat dan seterusnya, trend menurun sedikit dalam harga komoditi global dan inflasi makanan serantau yang perlahan boleh mengurangkan tekanan inflasi Malaysia.

"Kami meramalkan bahawa kadar inflasi utama akan meningkat sebanyak 3.7 peratus yoy pada suku keempat 2022, berbanding 4.5 yoy pada suku ketiga 2022, dengan subsidi bahan api diteruskan untuk baki tahun ini.

"Dengan itu, kami mengekalkan unjuran Indeks Harga Pengguna (CPI) 3.1 peratus pada 2022 yang tidak berubah ketika ini," katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo