NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Taufan Sitrang badai Bangladesh, sekurang-kurang 16 maut

Antara penempatan yang musnah akibat Taufan Sitrang di Bangladesh. - FOTO AFP

KUAKATA: Sekurang-kurang 16 maut apabila Taufan Sitrang membadai Bangladesh yang turut menyebabkan kira-kira sejuta penduduk terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka, menurut pegawai, hari ini.

Kejadian itu juga mengakibatkan kira-kira 10 juta penduduk terputus bekalan elektrik di sejumlah daerah pesisir, manakala banyak sekolah ditutup.

Meskipun berdepan cabaran mengejar masa, pihak berkuasa sempat memindahkan kira-kira sejuta penduduk sebelum taufan itu melanda selatan Bangladesh, lewat semalam.

Pegawai kerajaan, Jebun Nahar, berkata seramai 14 mangsa terkorban dengan kebanyakannya akibat ditimpa pokok tumbang, manakala dua lagi maut apabila sebuah bot karam di Sungai Jamuna di bahagian utara susulan cuaca buruk.

"Kami belum menerima semua laporan kerosakan, setakat ini," katanya kepada AFP.

Dalam pada itu, lapan mangsa dilaporkan hilang, semalam, apabila sebuah bot karam dipukul ombak besar serta ribut pada lewat malam di Teluk Benggala berhampiran Mirsarai, kata ketua jabatan bomba dan penyelamat wilayah terbabit, Abdullah Pasha.

Pokok tumbang akibat ribut dan angin kencang dibawa Taufan Sitrang yang melanda Bangladesh. - FOTO EPA


"Angin kencang menterbalikkan kapal terbabit sebelum ia karam serta-merta di Teluk Benggala," katanya kepada AFP sambil memaklumkan operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan.

Setiausaha Kementerian Pengurusan Bencana, Kamrul Ahsan pula memberitahu AFP, penduduk yang mendiami kawasan tanah rendah seperti pulau terpencil dan tebing sungai, sudah dipindahkan ke ribuan pusat perlindungan bertingkat.

Katanya, hampir 10,000 kediaman musnah ataupun mengalami kerosakan akibat bencana kali ini, manakala kira-kira 1,000 kolam ternakan udang dihanyutkan arus bah.

Hujan lebat melanda sebahagian besar negara ini menyebabkan banjir menenggelami bandar, termasuk Dhaka, Khulna dan Barisal yang menerima taburan hujan mencecah 324 milimeter, semalam.

Sementara itu kira-kira 33,000 pelarian Rohingya dari Myanmar, yang dipindahkan secara kontroversi ke sebuah pulau sering dilanda ribut di Teluk Benggala, juga dinasihatkan kekal berada di dalam tempat tertutup tetapi tiada sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan, setakat ini, menurut pegawai.

Taufan itu turut mengakibatkan pokok tumbang dan mencetuskan keadaan panik di Pulau Maheshkhali apabila bekalan elektrik serta hubungan terputus.

"Angin begitu kencang sehingga penduduk tidak boleh tidur kerana bimbang rumah kami akan musnah. Banyak rumah dimasuki ular dan dinaiki air," kata seorang penduduk, Tahmidul Islam, 25. - AFP



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo