Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran untuk mengambil pendekatan undi pos bagi meringankan beban pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk pulang mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Menurut Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah, pelajar yang tinggal berdekatan dengan kampus tidak begitu terkesan dengan kos yang perlu ditanggung tetapi bagi pelajar yang tinggal jauh pula, ia pasti akan memberi kesan terhadap aspek kewangan mereka.
“Saya percaya pihak SPR boleh melihat perkara ini dan kemungkinan pendekatan undi pos boleh dipertimbangkan.
“Namun, saya hanya memberi pandangan bagaimana sebenarnya setiap rakyat khususnya pelajar yang akan keluar mengundi buat pertama kali dapat menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya kepada Sinar Bestari ketika ditemui selepas program Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 di Karangkraf, Shah Alam, Selangor, hari ini.
Sebelum itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah membuat ketetapan dan meminta agar semua IPT memberi pelepasan kepada pelajar untuk pulang mengundi.
Dalam pada itu, Haim Hilman juga berkata, sekiranya perkara ini dilihat dalam konteks membina sebuah negara, pastinya suara setiap rakyat perlu didengari terutamanya mereka yang layak mengundi.
Tambahnya, kesukaran untuk para pelajar ini pulang mengundi bukanlah satu alasan bagi menafikan hak mereka dalam menunaikan tanggungjawab untuk menentukan masa depan negara.
“Jadi, inilah yang perlu diperhalusi oleh pihak-pihak berwajib bagi membantu para pelajar dengan tidak hanya memberi cuti, malah memberi mereka ruang untuk memastikan dapat pulang mengundi,” jelasnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan pihak IPT akan menanggung kos yang tinggi sekiranya membiayai sebahagian daripada pelajar mereka untuk pulang mengundi.
“Segalanya akan diserahkan kepada kebijaksanaan pihak KPT mengenai cara untuk membantu para pelajar yang terkesan.
“Dalam pada masa yang sama, saya berharap agar SPR dapat memperhalusi konsep undi pos untuk dikembangkan bagi membantu pelajar mengundi kerana mereka adalah masa depan negara dan suara mereka perlu didengari,” ujar beliau.
Tarikh pelepasan yang diberikan adalah dari 17 hingga 21 November ini bagi memberi tempoh yang cukup kepada pelajar untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke lokasi mengundi.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment